PUTRAJAYA – Prestasi pelajar Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 merosot berbanding skor yang diperolehi pada 2018.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan berkata, kemerosoton tersebut berpunca daripada pandemik Covid-19 apabila kebanyakan pelajar mengalami fasa ‘learning lost’ (keciciran pembelajaran) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sepanjang tempoh pandemik 2020 hingga 2022, sistem pendidikan dunia (termasuk Malaysia) terkesan dengan tempoh penutupan sekolah yang agak lama.
“Susulan itu, ia menyebabkan sedikit penurunan pencapaian pelajar Malaysia dalam hasil kajian PISA 2022 berbanding 2018.
“Dalam konteks Malaysia, pelajar kita cuba mengadaptasi sistem pembelajaran dari rumah (yang menyebabkan ada sesetengah pelajar mengalami ‘learning lost’),” katanya pada majlis pengumuman rasmi PISA 2022 di bilik mesyuarat Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.
Daripada 81 negara yang mengambil bahagian dalam PISA 2022, sebanyak 58 negara mengalami penurunan mata skor termasuk Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Perancis, United Kingdom (UK) dan Jerman.
Menerusi dapatan kajian tersebut, Azman berkata, pelajar Malaysia mengalami penurunan skor untuk tiga sektor utama iaitu Literasi Matematik, Literasi Saintifik dan Literasi Bacaan.
“Skor purata bagi Literasi Matematik pelajar Malaysia menurun sebanyak 17 mata daripada 489 mata dalam PISA 2018 kepada 472 mata dalam PISA 2022.
“Manakala, skor purata untuk Literasi Saintifik menurun sebanyak empat mata daripada 489 mata dalam PISA 2018 kepada 485 mata dalam PISA 2022.
“Skor Literasi Bacaan pula menurun kepada 388 mata berbanding 415 mata dalam PISA 2018,” katanya.
Jelasnya lagi, kajian itu juga secara keseluruhannya mendapati pencapaian pelajar perempuan lebih tinggi berbanding pelajar lelaki dalam kesemua tiga sektor tersebut.
Sementara itu, katanya, PISA turut melaporkan purata pencapaian murid di sekolah luar bandar adalah lebih rendah berbanding sekolah di bandar.
Azman berkata, KPM komited untuk terus menyertai PISA 2025 bagi mempertingkat kualiti sistem pendidikan dan pembelajaran negara.
“Negara kita komited untuk sertai PISA 2025 sebagai asas untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara pada masa akan datang,” katanya.
PISA merupakan kajian penanda aras antarabangsa yang dianjurkan Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) ke atas pelajar berusia 15 tahun dan menawarkan soalan dalam bahasa pengantar utama di negara masing-masing.
Bagaimanapun, pusingan terakhir ditangguhkan dari 2021 hingga 2022 kerana pandemik Covid-19.
Dapatan pentaksiran yang diadakan tiga tahun sekali itu dapat digunakan untuk memantau trend dalam pemerolehan pengetahuan dan kemahiran murid serta berdasarkan demografi sesebuah negara. – 5 Disember, 2023