Kit Siang patut nasihati Umno, bukan suruh PAS ganti presiden: Takiyuddin

Menurutnya, kenyataan veteran DAP itu juga tersasar dan tidak mempunyai merit

4:41 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – PAS menyarankan Tan Sri Lim Kit Siang supaya menasihatkan Umno, parti sekutu DAP dalam Kerajaan Perpaduan untuk mempertimbangkan perubahan kepimpinan, bukannya mencampuri urusan dalaman parti Islam itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana Umno semakin hilang sokongan dalam kalangan ahlinya sendiri dan juga orang awam.

“Keadaan ini sepatutnya lebih membimbangkan Kit Siang, terutamanya apabila kepimpinan Umno turut terpalit dengan kes jenayah besar yang pernah ditentang oleh DAP sendiri tidak lama dulu.

“Sudah pastilah DAP tidak boleh berlepas tangan, terus berdiam diri atau mendakwa tidak terlibat dengan perkembangan yang berlaku berkait keadaan dan persengkongkolan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Kit Siang supaya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menggantikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar parti itu boleh bersikap ‘lebih terbuka dan sederhana’.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, sebagai ahli politik veteran, Kit Siang tidak terlepas pandang bahawa dalam PRK Kemaman, Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) kehilangan kira-kira 20,000 undi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

“Trend ini sangat jelas dalam semua PRK yang diadakan selepas PRU-15, baik di Terengganu, Johor mahupun Pahang.

“Justeru lebih bermanfaat sekiranya Kit Siang memberi tumpuan kepada masalah dalaman PH-BN sendiri, bukannya terus bermain politik picisan,” katanya.

Tegasnya, pencapaian PAS di bawah kepimpinan Hadi adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan era sebelumnya.

Malah beliau berkata, PAS kini merupakan parti tunggal terbesar dengan kerusi terbanyak di Parlimen, menguasai pentadbiran empat negeri dan mempunyai wakil di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung.

“Justeru, persoalan yang cuba dibangkitkan Kit Siang mengenai Samsuri harus menggantikan Hadi nampaknya tersasar, malah tidak mempunyai merit sama sekali.

“PAS tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan Hadi. Hakikatnya, Hadi tidak tidak pernah dicabar, kecuali sekali, namun mendapat sokongan penuh daripada ahli serta perwakilan di setiap kali Muktamar Tahunan PAS,” katanya. – 5 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

Related