Laporan polis dibuat terhadap ‘Zionis’ sokong hubungan diplomatik Malaysia-Israel

Laporan itu difailkan Syed Muhammad Shafiq Syed Jaafar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini

3:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang warganegara prihatin membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat video seorang individu yang memperjuangkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Israel sambil menyifatkan rakyat Malaysia terperdaya dengan ‘maklumat salah’ Palestin.

Laporan itu dibuat oleh Syed Muhammad Shafiq Syed Jaafar, 35, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Syed berkata, laporan itu dibuat terhadap individu yang dikenali sebagai Victor Yong Jen Ong, yang mendakwa sebagai warganegara Malaysia dan baru-baru ini ditemu bual oleh pempengaruh media sosial Yahudi-Israel, Hananya Naftali.

“Alasan saya membuat laporan polis (terhadap Victor) adalah kerana dia membuat komen membimbangkan yang menggesa Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel sambil cuba menormalkan hubungan itu.

“Saya menggesa semua rakyat Malaysia yang menentang sentimen Zionis sedemikian untuk membuat laporan polis supaya isu ini tidak diabaikan oleh pihak berkuasa,” kata Syed kepada pemberita selepas memfailkan laporan itu.

Syed turut menuduh Victor menyentuh sentimen agama apabila individu itu didakwa merujuk tafsiran al-Quran untuk mewajarkan gesaannya agar Kedutaan Israel diwujudkan di Malaysia.

Turut hadir peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang berkata, walaupun status kewarganegaraan Victor masih belum disahkan, video itu perlu disiasat oleh pihak berkuasa berkaitan kerana ia tular di media sosial.

Syed Muhammad Shafiq Syed Jaafar (tengah) bersama Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali (kanan) bercakap kepada media selepas mebuat laporan polis berkaitan seorang individu yang meminta kerajaan memulakan hubungan diplomatik dengan Israel. – Gambar Riduan Ahmad/Scoop, 5 Disember, 2023

“Ketika rakyat Palestin memperjuangkan kemerdekaan mereka manakala masyarakat di seluruh dunia mengutuk jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai Israel, bagaimana video seseorang yang mendakwa sebagai rakyat Malaysia boleh menjadi tular dalam talian?” soal Rafique.

Semalam, Victor menimbulkan kemarahan netizen selepas klip video temu bualnya bersama Naftali, yang dilaporkan pembantu kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tular di media sosial.

Klip video temu bual itu, yang disiarkan oleh Naftali di akaun X (dahulunya Twitter) semalam dan dilabelkan sesetengah pihak sebagai usaha “terdesak” untuk menyebarkan propaganda pro-Israel, masih boleh ditonton di platform media sosial setakat berita ini ditulis.

Dalam video itu, Victor, yang dikatakan seorang penulis dan pemilik laman blog ‘China Chooses Israel’ mendakwa permusuhan Malaysia terhadap Israel adalah disebabkan oleh maklumat salah yang disebarkan oleh “radikal” Arab.

Dia juga menegaskan bahawa “operasi keganasan profesional” oleh organisasi politik Palestin, Fatah dan Hamas menimbulkan “kebencian” terhadap Israel dalam kalangan penduduk di sini.

“Bahkan Bani Israel pun disebut dalam Al-Quran. Kitab suci Islam menuntut agar kasih sayang dipanjangkan kepada kanak-kanak Israel, tetapi keganasan radikal Arab berbeza daripada itu dan cuba merosakkan pemikiran rakyat Malaysia untuk menjadikan orang Melayu dan Cina menentang bangsa Yahudi,” tambahnya.

Selain memberi alasan bahawa Kedutaan Israel di sini boleh “membawa banyak budaya ke Malaysia mengenai orang Yahudi (dan) menyedarkan masyarakat mengenai kebenaran sebenarnya,” Victor berkata, Malaysia dan Israel boleh mendapat ‘banyak’ manfaat dari segi ekonomi ” antara satu sama lain.

Walaupun tidak banyak maklumat mengenai Victor tersedia dalam talian, perihal buku novel 2020 ditulisnya, ‘Daughter of Palestine’ yang disiarkan di Amazon menggambarkannya sebagai “rakyat Malaysia dan keturunan komuniti Cina di luar negara.”

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lantang mengutuk pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza oleh rejim Zionis yang ketika ini melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di wilayah terkepung itu.

Ketegasan itu turut disuarakan Anwar di hadapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ketika Persidangan Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di AS baru-baru ini.

Setakat ini dilaporkan 15,899 rakyat Palestin terkorban sejak Israel memulakan serangan di Gaza pada 7 Oktober lalu, dengan 70 peratus daripadanya adalah kanak-kanak dan wanita. – 5 Disember, 2023

Topics

Hangat

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Buddhist leader urges calm, constructive actions following offensive football fan posts

He acknowledges that posts were unkind, unprofessional, but no plans to lodge additional police reports

Related