KUALA LUMPUR – Mayat wanita yang ditanam dalam simen di bilik air di rumah sewa di Kampung Pendamar, Klang, semalam, dipercayai dibunuh dua tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Scoop berkata, siasatan awal mendapati mangsa dibunuh sekitar Oktober 2021 sebelum dua suspek warga asing berpindah keluar dari kediaman itu pada tempoh sama.
“Namun, penemuan mayat itu baru diketahui semalam ketika tuan rumah mahu membuat proses baik pulih di bahagian bilik air sebelum dia tampil membuat laporan di Balai Polis Pandamaran.
“Polis yang menerima maklumat kemudian pergi ke lokasi kejadian dan meminta bantuan bomba untuk memecahkan simen terbabit bagi mengeluarkan mayat berkenaan,” katanya.
Menurut Hussein lagi, ketika kedua-dua suspek berpindah keluar dari rumah itu dua tahun lalu, tuan rumah kemudiannya menyewakan kediaman itu kepada warga tempatan.
Namun katanya, tuan rumah mengambil keputusan baru-baru ini untuk melakukan proses baik pulih di lokasi penemuan mayat tersebut.
“Ketika kedua-dua suspek ini keluar rumah pada 2021, tuan rumah tidak mengesyaki apa-apa sebelum dia menyewakan rumah itu kepada warga tempatan.
“Hanya baru-baru ini sahaja, dia (tuan rumah) mahu melakukan proses baik pulih di bilik air sebelum pekerja pembinaan memaklumkan kepadanya berhubung penemuan mayat wanita berkenaan,” katanya.
Susulan kes itu, Hussein turut mengesahkan penahanan seorang lelaki warga asing berusia dalam lingkungan 30-an bagi membantu siasatan penemuan mayat wanita dipercayai warga asing itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Seorang lelaki warga Bangladesh direman selama 14 hari bagi membantu mengesan dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan ini,” katanya. – 4 Disember, 2023