Umno akan terhapus sama sekali pada PRU-16, kata Tun M

Apa yang boleh selamatkan Umno ialah berpisah dengan DAP

2:48 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Umno akan terhapus sama sekali pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) ini.

Beliau yang juga bekas Presiden Umno berkata, apa yang boleh menyelamatkan Umno ialah berpisah dengan DAP dan kembali kepada perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.

Beliau berkata, selagi Umno bersekongkol dengan DAP maka sokongan kepada Umno akan terus merosot.

“Dan masalah Melayu perlu diperjuangkan semula. Khusus berkenaan kemiskinan orang Melayu.

“Semua sedar Umno bukan lagi berjuang untuk bangsa, negara dan agama. Perjuangan Umno ialah untuk duit, untuk selamatkan kepimpinan yang bersekongkol dengan jenayah.

“Lagipun pengundi Umno bukan lagi yang ketahui jasa Umno kepada negara. Mereka sudah tua dan tidak lagi aktif dalam arena politik,’’ katanya menerusi hantaran di platform X, hari ini.

Pada PRK Kemaman, calon PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 berbanding 27,179 undi yang dimenangi penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid dalam PRU-15.

Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi, manakala pesaingnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari Barisan Nasional (BN) memperolehi 27,778 undi.

Berikutan itu, isu mengenai kepimpinan dalam PAS dan Umno telah diperkatakan termasuk veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang menyarankan Tan Sri Abdul Hadi Awang berundur sebagai Presiden PAS dan menyerahkan kerusi diterajuinya itu kepada Ahmad Samsuri.

Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memenangi PRK Kemaman dengan menewaskan calon Barisan Nasional menerusi majoriti 37,220 – Gambar Facebook Ahmad Samsuri, 4 Disember, 2023

Sementara bagi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, gesaan supaya beliau melepaskan jawatan berkenaan telah lama kedengaran.

Zahid bagaimanapun menafikan keputusan PRK Kemaman sebagai satu referendum bahawa sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) meningkat.

Jelas Dr Mahathir, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman merupakan mesej kepada Umno dan suka atau tidak, ia adalah kenyataan.

“Saya sedih kerana bapa yang menyelamat Umno pada satu masa dahulu, anak yang musnahkan Umno setelah mengambil alih kepimpinan,’’ katanya.

Tegasnya, dalam masa yang sama pemimpin yang usang juga perlu digugurkan.

Ini kerana, kata Dr Mahathir, pengundi Umno tidak lagi mengetahui jasa parti itu kepada negara apatah lagi pengundi muda dibesarkan setelah negara mengecapi kemajuan.

“Peranan Umno memajukan negara dari kemiskinan dahulu sehingga separuh maju sekarang tidak disedari oleh mereka,’’ katanya. – 4 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related