Rombakan Kabinet: Semua pihak diminta bersabar, Perdana Menteri pasti tunggu masa paling sesuai

Malah, ia adalah keistimewaan Perdana Menteri untuk menentukan bila rombakan dilakukan dan calon bersesuaian, justeru hak itu perlu dihormati

8:01 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk masih belum mengumumkan rombakan Kabinet dilihat berkemungkinan kerana beliau menunggu masa paling sesuai.

Penganalisis sosiopolitik dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, rombakan Kabinet dilihat lebih wajar dilakukan tahun hadapan selepas Yang di-Pertuan Agong ke-17 ditabalkan.

Katanya, mengambil semangat kepimpinan Kerajaan Perpaduan dan kerjasama dengan institusi Yang Dipertuan Agong, langkah itu akan memberi impak lebih baik.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, rombakan Kabinet dilihat lebih wajar dilakukan tahun hadapan selepas Yang di-Pertuan Agong ke-17 ditabalkan – Gambar laman web UM, 3 Disember, 2023

“Saya kira keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melengahkan pengumuman rombakan itu juga kerana memikirkan ke arah tersebut (pertukaran Agong).

“Isunya untuk mengisi kekosongan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ditinggalkan kuota Amanah. Cuma dalam politik, dalam media biasalah, mereka buat spekulasi untuk kepentingan mereka, yang ini tukar, itu ganti, yang ini kawan dia patut naik, spekulasi dibuat penyokong dalam parti, berdasarkan kepentingan mereka.

“Tapi yang penting itu privilage (hak) Perdana Menteri untuk tentukan siapa atau calon yang bersesuaian dan itu perlu dihormati,” katanya kepada Scoop.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh berkata, rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan berkemungkinan dibuat sebelum hujung tahun ini.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri ketika menyantuni soalan berhubung bilakah rombakan Kabinet akan dibuat yang diajukan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.

Kanak-kanak itu menantikan beliau untuk mendapatkan tandatangannya bersama pengamal media, selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Putra Al-Amin Fasa 4, di Putrajaya.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir turut memberi pandangan senada apabila menegaskan, barisan Kabinet baharu adalah lebih molek jika mendapat perkenan Agong baharu.

Datuk Dr Jeniri Amir berkata, rombakan sememangnya wajar dilakukan bukan sekadar untuk mengisi kekosongan di KPDN, malah perlu menggugurkan menteri dan timbalan menteri yang tidak menunjukkan peranan secara berkesan serta berfungsi – Gambar MPI, 3 Disember, 2023

“Tentu lebih baik mendapat perkenan Agong baharu, lebih molek daripada segi adab, malah Agong baharu ini yang akan berhadapan dengan Kabinet baharu ini.

“Barangkali perlu bersabar (untuk rombakan), lagi pun tidak lama lagi pun (pertukaran Agong),” katanya.

Beliau berkata, rombakan sememangnya wajar dilakukan bukan sekadar untuk mengisi kekosongan di KPDN, malah perlu menggugurkan menteri dan timbalan menteri yang tidak menunjukkan peranan secara berkesan serta berfungsi.

“Memindahkan atau menukar menteri atau timbalan menteri kepada portfolio yang lebih sesuai dan mengikut pengalaman, potensi serta keupayaaanya, mengambil teknorat atau profesional dari luar untuk memastikan Kabinet baharu ini mantap, berfungsi dan memenuhi aspirasi serta harapan rakyat. Selesaikan masalah dan isu rakyat, khususnya isu kesihatan, kos sara hidup.

“(Wujudkan) Satu pasukan Kabinet yang betul-betul berupaya mendukung aspirasi rakyat, memenuhi akujanji terkandung dalam manifesto dan berupaya merealisasikan aspirasi Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Kabinet baharu ini perlu mantap dan diharapkan dapat membantu menyelesaikan masalah dan isu rakyat, khususnya isu kesihatan, kos sara hidup – Alif Omar/Scoop, 3 Disember, 2023

Mengulas lanjut, beliau berkata, kekosongan di KPDN tidak semestinya di isi pemimpin Amanah kerana apa lebih penting, rakyat memerlukan menteri yang efektif.

“Rakyat tidak kisah (pemimpin) dari parti mana, tapi (mahukan) menteri dan seluruh Kabinet memainkan peranan dengan efektif, bukan hanya Perdana Menteri sahaja bekerja dengan aktif, tapi yang lain tenggelam,” katanya.

Sebelum ini, beberapa portal melaporkan kenyataan sumber yang membuat spekulasi rombakan bakal dilakukan minggu hadapan.

Katanya, ia akan dibuat selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman dengan perubahan barisan Kabinet, termasuk didakwa bakal menyaksikan pelantikan menteri kesihatan baharu. – 3 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related