4 jam perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu dengan ECRL

MRL juga bekerja sama rapat dengan penyedia komunikasi bagi memastikan pelanggan mendapat sambungan penuh komunikasi ketika dalam tren, termasuk dalam terowong

5:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu, Kelantan, dijangka mengambil masa kira-kira empat jam dengan menggunakan perkhidmatan kereta api projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekali gus dapat menjimatkan masa.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, perjalanan biasa menggunakan kereta mengambil masa tujuh setengah jam untuk sampai ke Kota Bahru dari Gombak, tanpa kesesakan jalan raya.

Pada kelajuan 160km, ia dapat menjimatkan masa perjalanan tersebut kepada empat jam.

“Hujung minggu lalu, saya menaiki kereta melalui jalan Gua Musang, berbanding Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan ia mengambil masa 7 setengah jam.

“Saya mahu mengesahkan berulang kali (tempoh perjalanan) dari Terminal Pengangkutan Bersepadu-Gombak (ITT-Gombak) ke Kota Bharu dan ia adalah waktu ketika keadaan normal.

“Bayangkan jika hari raya, tempoh perjalanan boleh mengambil masa selama lebih 14 jam,’’ katanya.

Darwis berkata demikian pada forum perbincangan Concorde Club, melibatkan pengarang-pengarang berita kanan dan wartawan senior.

Turut hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai.

Forum perbincangan berkenaan yang diadakan di Hotel Concorde, memberi peluang kepada perbincangan mengenai isu-isu semasa antara media dan tetamu jemputan.

ECRL dijadual beroperasi secara komersial pada 2027 dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor.

Sebahagian daripada infrastruktur ECRL yang sedang dalam pembinaan di Dungun, Terengganu. – Gambar Bernama, 30 November 2023

Dalam pada itu, Darwis memberitahu, tiket tren adalah lebih kurang sama dengan perkhidmatan tren elektrik (ETS) oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Darwis turut memaklumkan projek ECRL telah mencapai kemajuan sebanyak 54.14% sehingga Oktober lalu, dan mensasarkan 56 ke 57 peratus pada hujung tahun ini.

Selain itu, katanya, pihaknya akan menggunapakai sistem komunikasi 4G, LTE-Railway (LTE-R) dengan matlamat menyediakan sambungan internet sepenuhnya kepada penumpang sepanjang perjalanan lebih 600km merentasi Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu sebelum menghubungkan Lembah Klang.

“Ia merupakan yang kedua selepas Korea yang menggunakan LTE-R. Ia menggunakan signal komunikasi 4G dan jika kita nak naiktaraf kepada 5G pada masa depan kemudahan sudah ada dan ia lebih mudah selain kos lebih rendah.

“Sitem komunikasi dalam tren adalah penting terutama dari aspek keselamatan tapi apa yang penting ialah kita mahu pelanggan mendapat sambungan penuh semasa dalam tren termasuk ketika melalui terowong.

“Untuk itu, kita telah bekerjasama rapat dengan penyedia rangkaian komunikasi supaya orang ramai mendapat sambungan penuh, tiada internet blind spots semasa perjalanan mereka,’’ katanya. – 30 November, 2023

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related