Program Pemecut Yayasan Pahang dan Beyond4 untuk anak Pahang, sudah mula tarik pelabur

Tiga syarikat pemula iaitu YesHello, Exploria Malaysia dan Qarbotech berjaya mencapai pelaburan bernilai AS$1 juta

4:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Dengan trend teknologi yang semakin berkembang dalam era globalisasi ini, Yayasan Pahang telah meletakkan sasaran untuk menjadikan negeri pantai timur itu sebagai Hab Digital Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi berkata, bagi mencapai tujuan itu, Yayasan Pahang telah mengadakan kerjasama dengan Beyond4 sejak 2022 untuk mewujudkan program ‘Skill Accelerator’ atau pemacu kemahiran, merangkumi pengiktirafan SAP dan teknologi terkini dengan memfokuskan analisis data, pembangunan full-stack serta Internet Kebendaan (LoT).

Sehingga tahun ini, seramai 113 graduan baharu di Pahang menyertainya, di mana 93 daripada mereka telah mendapat pekerjaan dengan jaminan gaji minimum RM3,000.

“Satu lagi program cukup menarik yang ditawarkan adalah Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA), dahulunya dikenali sebagai Beyond4 Pre- Accelator sebagai platform bagi pengasas syarikat pemula (startup) di Pahang untuk mendapat sokongan dalam membangunkan perniagaan mereka.

“Program pemecut ini telah diadakan sebanyak tiga kali dan sehingga tahun ini, ia disertai 39 syarikat pemula. Mereka akan menjalani program latihan selama tiga bulan dan akan dipantau dalam masa enam bulan menerusi program yang direka secara eksklusif melalui ekosistem digital, mampan agar idea dan model perniagaan mereka dapat berkembang secara dinamik serta menarik minat pelabur dalam serta luar negara,’’ katanya kepada Scoop.

Menurut Mahmud, kriteria utama untuk syarikat pemula menyertai program ini ialah peserta adalah anak jati Pahang tanpa mengira usia dan kaum.

“Tujuan kita mewujudkan program ini dengan kerjasama Beyond4 adalah kerana kita mahu menggalakkan lebih banyak lagi usahawan startup di negeri ini, sekali gus menjadikan Pahang sebagai Hab Digital Malaysia di Pantai Timur.

“Setakat ini, sudah ada tiga syarikat pemula yang berjaya menjual idea dan model perniagaan mereka kepada pelabur luar serta telah mencapai pelaburan bernilai AS$1 juta (RM4.66 juta) setelah menjalani program ini.

“Yayasan Pahang sendiri turut memberikan wang pelaburan sebanyak RM50,000 kepada mana-mana startup yang berjaya, sebagai insentif kepada mereka,’’ katanya.

Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi (tengah) berkata, Yayasan Pahang telah mengadakan kerjasama dengan Beyond4 sejak 2022 untuk mewujudkan program pemacu kemahiran – Gambar Yayasan pahang, 30 November, 2023

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Beyond4, S.T Rubaneswaran berkata, program pemecut PISA direka secara eksklusif untuk startup yang benar-benar serius mendapatkan pelabur berkesan melalui idea dan model perniagaan mereka.

“Mereka akan dibantu dan dilatih dalam masa tiga bulan menerusi program ‘masterclass’ oleh tenaga berkredibiliti serta modul pembelajaran yang efektif, memberi bimbingan mentor secara one-to-one dan memantau perkembangan mereka.

“Selepas selesai program ini, kita akan terus membantu mereka untuk memasarkan idea dan model perniagaan sehingga berjaya menarik minat pelabur dan meraih keuntungan,’’ katanya.

Rubaneswaran juga memberitahu, tiga pemula iaitu YesHello, Exploria Malaysia dan Qarbotech telah berjaya mencapai pelaburan bernilai AS$1 juta selepas mereka membuat pembentangan menjual idea dan model perniagaan kepada pelabur luar.

“Kita turut menyediakan peluang pembiayaan jika kita mendapati idea dan model bisnes mereka benar-benar berpotensi untuk diterima di pasaran dalam atau luar negeri.

“Semua ini berjaya dilakukan melalui rangkaian dalam dan luar negara serta dengan rakan-rakan kongsi kami. Bahkan, kami juga telah menubuhkan dana modal teroka pertama melalui perkongsian dengan True Vina Capital Partners di Singapura ,” katanya.

Beliau juga memaklumkan pihaknya dalam proses membantu Yayasan Pahang untuk mendapatkan kelulusan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menjadikan Rumah Pahang sebagai Digital Hub Malaysia.

“Kita juga akan melihat bagaimana untuk mengembangkan ekosistem startup kami di Pahang untuk mendapatkan lebih banyak akses modal dan akses pasaran,” katanya. – 30 November, 2023

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

It’s clearly ‘All In’ Hotel, not ‘Allah’: Perlis mufti urges Muslims to look before leaping

The “All In Hotel” signage does not resemble the word “Allah”, said Datuk Mohd Asri Zainul Abidin after a group complained about its name.

Related