Saya sedih, belum bincang tarik balik, kita mengalah dengan industri tembakau

Hassan berkata, RUU itu sepatutnya dibincangkan di Parlimen sebelum sebarang keputusan dibuat

6:39 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang (PH), Hassan Abdul Karim kecewa apabila Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat Rokok (GEG) tidak dibentangkan di Dewan Rakyat.

Lebih mengecewakannya apabila Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menarik semula pembentangan RUU itu daripada dibentangkan pada sesi berkenaan atas alasan ia tidak berpelembagaan.

“Saya melihat RUU dibentang ini telah menggugurkan peruntukan berkaitan larangan tembakau dan vape berdasarkan umur. Daripada semakan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, saya tidak menafikan RUU dibentangkan punya tujuan yang baik.

“Tapi saya anggap ini suatu anti klimaks. Saya menjangkakan bahawa RUU berkaitan dengan GEG dibentangkan dalam sesi persidangan ini tapi nampaknya tidak begitu,” katanya pada sesi perbahasan RUU itu di peringkat dasar, petang ini.

Hassan Abdul Karim kecewa RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat Rokok tidak dibentangkan di Dewan Rakyat – Gambar Bernama, 29 November, 2023

Menurut Hassan, tindakan itu seolah-olah menunjukkan kerajaan mengalah dengan desakan industri tembakau.

“Saya berpendapat, kita macam mengalahlah kepada industri tembakau yang besar ini. Kita nampak mengalah. Tadi mukadimah menteri menyatakan bahawa ramai mati… sakit, kerajaan kena belanja berbilon untuk merawat.

“Kita sebagai ahli politik, Ahli Parlimen kita nak menyelamatkan generasi akan datang. Dalam Parlimen bukan semua menyokong RUU GEG, ada menentang tetapi dengan sukarela kita gugurkan (peruntukan) itu.

“Harapan di luar sana ramai menyokong supaya anak-anak lahir selepas 2007 maknanya tidak boleh menghisap rokok untuk menjaga kesihatan. Tetapi sekarang business as usual (perniagaan seperti biasa),” katanya.

Beliau berkata, hanya mahkamah yang akan menentukan sama ada (RUU) yang digubal di Parlimen itu bercanggah dengan Perlembagaan, bukannya Peguam Negara.

“Alasan peruntukan di bawah RUU itu bercanggah dengan Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang itu pihak yang boleh mentafsirnya bukan Peguam Negara, bukan Ahli Parlimen tapi hakim-hakim di mahkamah.

“Kalau kita buat salah, buat undang-undang bercanggah dengan Perlembagaan negara, pihak lain boleh bawa ke mahkamah menyatakan bahawa undang-undang kita buat di Parlimen ini ultra virus, bercanggah dengan Parlimen. Mahkamah yang tentukan bukan peguam negara jadi ‘gatekeeper’.

“Jadi kalau (begini) tak payah ada Parlimen. Biar Peguam Negara dan Kabinet saja buat undang-undang. Tidak begitu hasrat negara demokrasi… bagi peluang 222 Ahli Parlimen yang bincang. Boleh jadi RUU GEG itu kalah, ditolak. Tak apalah itu demokrasi, tetapi belum bincang kita dah tarik balik, kita kalah dengan pelobi daripada industri tembakau. Saya sangat sedih,” katanya.

Terdahulu, peruntukan mengenai larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok digugurkan daripada RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibentangkan sekali lagi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, semalam.

Berdasarkan RUU sebelum ini, yang lebih dikenali sebagai RUU GEG dan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 12 Jun lalu, terdapat empat peruntukan berkaitan larangan yang dikenakan terhadap individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Ia merangkumi Perkara 13, 14, 18 dan 19, iaitu larangan penjualan produk tembakau, bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Di bawah RUU baharu yang dibentangkan Dr Zaliha hari ini, di bawah Perkara 17 (1) larangan merokok dan menggunakan produk tembakau dikenakan kepada orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun.

Pada 18 November lalu, Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, dipetik berkata, peruntukan di bawah RUU itu bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan memandangkan ia mewujudkan layanan undang-undang tidak sama rata antara seseorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dan individu dilahirkan pada dan selepas tarikh sama.

Jabatan Peguam Negara (AGC) merujuk kepada kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang disiarkan dalam portal badan pemerhati kesihatan, CodeBlue pada 14 November lalu yang turut disiarkan akhbar New Straits Times.

Khairy turut menafikan hujah RUU GEG bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, seperti dikemukakan Jemaah Menteri, sebelum ini. – 29 November, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related