PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tiga tuduhan kes dadah.
Bagaimanapun, Hakim, Faiz Dziyauddin mengarahkan penyanyi berusia 48 tahun itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh mengikut perkenan Sultan Selangor.
“Bagaimanapun, tertuduh (Yasin) tidak berada di dalam keadaan mental yang waras ketika melakukan kesalahan itu. Walaupun dia menyedari perbuatannya, gejala mania (emosi tidak stabil) dialaminya ketika itu menyebabkan kemerosotan kognitif pada tahap teruk sehingga dia tidak mampu untuk mengetahui bahawa perbuatannya itu salah dan bertentangan undang-undang.
“Jadi, mengikut Seksyen 348(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), mahkamah memutuskan untuk meletakkan tertuduh di bawah jagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Perak selama yang diperkenan Sultan Selangor, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 348 (2) KTJ.
Peguam, Ariff Azami Hussein mewakili Yasin, manakala pendakwaan diwakili Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin pada prosiding hari ini.
Yasin didakwa pada 24 Mac tahun lepas, dengan satu pertuduhan memiliki 193.7 gram (g) ganja, dan satu pertuduhan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik di rumahnya di Kota Damansara.
Pertuduhan pertama adalah mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum penjara lima tahun hingga seumur hidup dan maksimum 20 sebatan.
Pertuduhan kedua menanam ganja adalah mengikut Seksyen 6B(1)(a) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya enam sebatan rotan, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan memberikan dirinya ganja adalah mengikut Seksyen 15(1)(a) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempatnya iaitu mengedar 214g ganja di rumahnya, Yasin boleh dikenakan hukuman mati, tetapi dia dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) pada Julai tahun lalu. – 29 November, 2023