PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga rakan strategik bagi menggalakkan pendigitalan sektor kesihatan dan pemerkasaan komuniti.
Tiga rakan stategik itu adalah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS).
Pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Timbalannya, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Mewakili Felda ialah Pengarah Komunikasi Strategiknya, Mastura Abdul Manap manakala MMA pula diwakili Setiausaha Agung Kehormatnya, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo dan MPS diwakili Presidennya, Prof Amrahi Buang.
Majlis pertukaran MoU itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sempena Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Madani 2023.
Melalui kerjasama ini, MCMC bersama Felda, MMA dan MPS akan membantu komuniti untuk menyesuaikan diri dengan landskap digital yang sentiasa berubah, sejajar dengan ketersediaan PEDi sebagai pemangkin ekonomi digital negara.
Fahmi berkata, terdapat 150 PEDi di skim Felda yang akan meningkatkan cara pembayaran tanpa tunai di pusat terbabit.
“MCMC dan Felda akan menjalin kerjasama melalui Kempen Komuniti Pintar yang menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai melalui PEDi di kawasan Felda,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pertukaran MoU antara MCMC dengan MMA dan MPS pula dijangka merancakkan lagi pendigitalan di klinik dan farmasi komuniti swasta
“Ia melalui Geran Digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani dan Kertas Putih Perubatan.
“Harapan saya ini akan meningkatkan usaha pendigitalan dan keterlibatan lebih ramai masyarakat dalam ekonomi digital,” katanya.
Selain itu siri kempen kesedaran yang berpaksikan empat tonggak utama iaitu literasi digital, keselamatan siber, peluang pendapatan, dan pembinaan kapasiti berdasarkan platform tanpa tunai akan turut melibatkan rakan-rakan strategik MCMC yang lain.
Ini termasuk Touch ‘n Go, Foodpanda, Boost, Maybank MAE QR dan lain-lain penyedia perkhidmatan kewangan. – 29 November, 2023