KUALA LUMPUR — Laporan mengenai impak program subsidi yang dijalankan mendapati kumpulan T20 secara purata menggunakan RM399 sebulan bagi petrol RON95, manakala kumpulan B40 secara purata menggunakan RM243 sebulan.
Keadaan ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuktikan bahawa kaedah subsidi pukal tidak memberi nilai kerana kumpulan sasar yang sepatutnya dibantu tidak mendapat manfaat sebenar.
Menurut Zahid, disebabkan diesel disubsidi secara pukal, wujud ruang ketirisan yang telah menyebabkan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dan menyeludup diesel di pasaran gelap.
“Oleh yang demikian, tidaklah wajar untuk kerajaan meneruskan suatu pendekatan yang sememangnya tidak adil kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan rakyat yang benar-benar perlu dibantu,’’ katanya dalam ucapan perasmian ‘Simposium Kos Sara Hidup Tahun 2023’ di Putrajaya hari ini.
Teks ucapan itu dibacakan oleh pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Menurut Zahid, meskipun pemberian subsidi daripada kerajaan telah membantu dalam menstabilkan harga, menjamin bekalan dan secara tidak langsung membantu rakyat dalam mengurangkan beban kos sara hidup, namun limpahan manfaat daripada pemberian subsidi secara pukal sejak sekian lama itu turut dinikmati golongan yang berpendapatan tinggi dan bukan warganegara.
“Kerajaan juga menanggung perbelanjaan yang semakin besar dalam peruntukan subsidi. Pada 2022, nilai subsidi keseluruhan yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM66.3 bilion, satu nilai yang terlalu besar jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.
“Bagi 2023, peruntukan asal bagi keperluan subsidi adalah sebanyak RM55 bilion, namun kerajaan mengunjurkan nilai ini mencecah RM81 bilion berdasarkan perbelanjaan semasa,’’ katanya.
Justeru, Zahid berkata, adalah wajar bagi kerajaan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan bagi menambah baik kaedah penyampaian bantuan yang lebih bersasar kepada rakyat. – 28 November, 2023