Remaja tikam pemandu e-hailing direman sehari

Perintah reman dikeluarkan di Mahkamah Majistret Sungai Petani oleh Majistret Kalaiarasi Muniandy, hari ini

3:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang bertindak menikam pisau di dada pemandu e-hailing di Sungai Petani, Kedah semalam direman bagi membantu siasatan kes itu.

Perintah reman yang dikeluarkan di Mahkamah Majistret Sungai Petani oleh Majistret Kalaiarasi Muniandy dibenarkan selama sehari, hari ini.

Semalam, pemandu e-hailing berusia 65 tahun itu berdepan detik cemas apabila remaja terbabit menikamnya di bahagian dada dalam kejadian di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah.

Bagaimanapun, pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan apabila sempat merampas pisau serta mengigit tangannya untuk mempertahankan diri sebelum suspek melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca disebabkan suspek marahkan pemandu berusia 65 tahun itu kerana dimaki dan cuba mengambil semula wang bayaran tambang.

“Berdasarkan laporan, pemandu terbabit menerima pesanan penumpang melalui aplikasi Grab pada jam 5.43 petang semalam untuk mengambil penumpang terbabit di Lorong Taman Keladi, di Sungai Petani.

“Sewaktu dalam perjalanan ke Bandar Sri Astana, penumpang terbabit meminta agar pemandu itu meminjamkan wang sebanyak RM50 untuk membayar sewa rumah.

“Bagaimanapun pemandu itu memberitahu jika tiada wang, dia terpaksa menurunkan penumpang terbabit di lokasi berkenaan tetapi suspek enggan dan meminta membawanya ke rumah di Bandar Sri Astana untuk mengambil wang bagi membayar tambang itu,” katanya.

Namun Zaidy berkata, sebaik sampai di rumah berkenaan, remaja terbabit meminta pemandu itu membawanya semula ke Taman Keladi dan menerima bayaran sebanyak RM18 daripada remaja berkenaan dan turut melengahkannya kerana membawanya ke beberapa lorong kecil.

“Pengadu terpaksa menurunkan penumpang itu di lokasi berkenaan dan meminta bayaran tambahan sebanyak RM9 dan penumpang itu memberikan wang RM20.

“Sewaktu pemandu itu mahu memulangkan baki wang, suspek menikam dada kirinya dengan sebilah pisau. Namun pemandu itu sempat merampas pisau serta mengigit tangannya untuk mempertahankan diri dan suspek kemudian melarikan diri,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, polis berjaya merampas sebilah pisau berhulu hitam berukuran 25 sentimeter (cm) yang dibawa remaja berkenaan dan ditinggalkan di tempat kejadian.

Jelas beliau lagi, remaja lelaki itu adalah anak sulung daripada empat beradik dan bukan dalam kalangan keluarga bermasalah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati remaja itu bebas dari pengaruh dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini,” katanya. – 28 November, 2023

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related