Usaha bawa pulang Hemakavin: Pengampunan Diraja Kemboja tidak libat kesalahan dadah

Keutamaan pengampunan di Kemboja adalah tahanan wanita dan orang tua serta tidak melibatkan kesalahan dadah

9:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Kerajaan telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Kemboja bagi mendapatkan nasihat mengenai proses pengampunan Diraja ke atas Hemakavin Karthigesu yang ditahan di negara itu namun keutamaan pengampunan adalah tahanan wanita dan orang tua serta tidak melibatkan kesalahan dadah.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, pertimbangan kurniaan pengampunan Diraja itu juga diberikan kepada tahanan yang telah menjalani hukuman selama 20 hingga 30 tahun dan hanya boleh dikurangkan satu tahun atau kurang satu pertiga (1/3) dari tempoh tersebut.

Bagaimanapun, katanya, bagi menjaga kebajikan Hemakavin, Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sentiasa melaksanakan lawatan konsular ke atasnya dan menghulurkan bantuan sewajarnya sejak beliau ditempatkan di penjara.

“Kementerian tetap prihatin akan situasi yang dialami oleh Hemakavin dan akan meneruskan lawatan konsular secara berkala ke atas beliau bagi memastikan hak dan kebajikannya sentiasa terpelihara.

“Lawatan konsular yang terkini telah diadakan pada 26 Julai lalu di Correctional Center 1, Phnom Penh. Encik Hemakavin serta tahanan yang lain turut diberikan sumbangan seperti peralatan kebersihan diri, ubat-ubatan dan,’’ katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang meminta Kementerian Luar menyatakan usaha membantu Hemakavin yang menjadi mangsa sindiket keldai dadah dan dijatuhkan hukuman di Kemboja.

Hemakavin telah ditahan oleh pihak berkuasa Kemboja pada 10 November 2016 atas kesalahan berkaitan dadah dan telah dijatuhi hukuman penjara selama 25 tahun pada 28 Julai 2017.

Kes ini telah dibawa sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan pada 26 Februari 2018 namun rayuannya telah ditolak dan sebatan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi negara itu dikekalkan.

Mohamad turut memaklumkan dasar luar negara adalah berpandukan kepada prinsip-prinsip menghormati kemerdekaan, kedaulatan, keutuhan wilayah dan sikap tidak mencampuri urusan negara lain.

“Dalam hal ini, kerajaan Malaysia telah berusaha sedaya upaya untuk menyalurkan bantuan sewajarnya dalam ruang lingkup kuasa yang dimiliki yang tidak melanggar prinsip kedaulatan negara Kemboja sebagaimana kita juga mahukan negara luar agar menghormati undang-undang dan Perlembagaan negara,’’ katanya. – 27 November, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related