KUALA LUMPUR — Jabatan Imigresen Malaysia akan mewujudkan pasukan khas bagi memantau pergerakan keluar pelancong China dan India dengan pemantauan akan dijalankan pada tarikh akhir iaitu hari ke-30 mengikut tempoh keberadaan mereka di dalam negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia merupakan sebahagian daripada pelan kawalan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan selaras pelan liberalisasi visa.
Menurut Saifuddin, selain itu pelaksanaan pelan liberalisasi visa ini juga akan dikaji semula selepas tempoh setahun untuk menilai pulangan pelaburan (ROI) kepada negara, keberkesanan inisiatif dan penilaian risiko keselamatan terhadap kemudahan imigresen yang diberikan.
“Sekiranya berlaku insiden atau kejadian di luar jangkaan, maka pelan liberalisasi visa ini akan disemak semula untuk ditambahbaik sebagai persediaan menjelang tahun 2025 dan 2026.
“Ini akan dapat membantu Kerajaan dalam memperkemas dasar dan prosedur berkaitan keimigresenan dan menjamin ketersediaan pasukan imigresen di pintu masuk negara untuk menerima kehadiran pelancong asing dalam tempoh dua tahun akan datang,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rakyat China dan India boleh menikmati pengecualian visa ke Malaysia mulai 1 Disember ini, sebagai langkah untuk meningkatkan ekonomi negara selain memudahkan hubungan antarabangsa yang lebih baik.
Ia juga kata, Perdana Menteri bagi memperingati ulang tahun ke-50 kerjasama strategik Malaysia dengan China pada tahun hadapan, pelawat dari China dan India akan menikmati perjalanan tanpa visa selama 30 hari.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pelan liberalisasi visa ini akan diperkenalkan dengan penambahbaikan kemudahan Imigresen sedia ada yang telah dinikmati oleh pengembara ke Malaysia, seperti negara-negara dari Eropah, Asia Tenggara dan Asia Barat.
“Penambahbaikan kemudahan Imigresen di bawah pelan liberalisasi ini akan dilaksanakan mulai 1 Disember ini bagi melakukan anjakan dasar dan memperkenalkan pendekatan baharu mengikut tuntutan 2 semasa.
“Melalui aspek kawalan dan penguatkuasaan yang dipergiatkan, negara boleh menghindar dari berlakunya isu-isu seperti kebanjiran warga asing dan pendatang tanpa izin (PATI),” katanya.
Justeru ujar beliau, Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di Malaysia terjamin dengan mengekalkan pelaksanaan tapisan awal keselamatan kepada semua pengembara ke Malaysia terutama yang mempunyai rekod jenayah atau risiko keganasan.
Beliau juga memaklumkan beberapa langkah pemantauan turut diambil iaitu meningkatkan aktiviti naziran di kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan tumpuan warga asing seperti di Masjid India, Plaza Lowyat, Bukit Bintang dan sebagainya bagi membanteras pendatang asing tanpa izin.
Selain itu, prosedur ketat pemberian Notis Penolakan Masuk atau Notto-Land (NTL) dikekalkan dan tidak dikompromi.
“Turut dilakukan ialah memberikan tanggungjawab kepada syarikat penerbangan untuk menyemak dan memastikan pelancong yang masuk ke Malaysia mempunyai tiket penerbangan pulang dan tempahan hotel sepanjang keberadaan di Malaysia yang disahkan, meneroka cadangan untuk mewajibkan pengisian data di Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) yang berintegrasi dengan sistem imigresen MyIMMs bagi memastikan data kemasukan pelancong asing direkodkan.
“Selain itu mengkaji semula Akta Imigresen 1959/63 dan PeraturanPeraturan Imigresen 1963 berkaitan kadar kompaun, denda serta hukuman untuk tindakan jangka panjang,’’ katanya. – 27 November, 2023