KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Perlis hanya menghentikan kutipan Tabung Aman Palestin susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun sumbangan kepada rakyat Palestin masih boleh disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang diyakini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, larangan berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) dan kerajaan negeri juga mengikut larangan yang dibuat oleh jabatan berkenaan.
“Dalam surat yang dikeluarkan (Jaips) itu, mereka maklumkan agar tiada sebarang kutipan lagi yang akan dibuat atau disalurkan kepada Aman Palestin.
“Berhubung dakwaan mengenai kes (seleweng dana), kita serahkan kepada siasatan pihak berkuasa, saya pun tak boleh nak beri komen lebih berkenaan hal ini,” katanya kepada Scoop.
Jaips sebelum ini menjadi negeri pertama yang mengumumkan telah menghentikan Kutipan Tabung Aman Palestin di setiap premis agama Islam di negeri berkenaan berkuatkuasa 12 Oktober lalu.
Malah pada 9 Oktober lalu juga, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri dalam hantarannya di aplikasi X meminta orang ramai berhati-hati dengan ‘scammer’ atau sindiket penipuan yang cuba mengambil kesempatan mengumpul dana kononnya untuk membantu rakyat Palestin.
“Hati-hati dengan penunggang nama Palestin!” katanya.
SPRM sebelum ini telah membekukan 41 akaun dan beberapa entiti syarikat lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin berjumlah RM15,868,762 selepas didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.
Dalam pada itu, Azmir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan berkata, kerajaan negeri akan menganjurkan Himpunan Aid 4 Palestine yang dijangka diadakan bulan hadapan, sekali gus mengaktifkan Tabung Aid 4 Palestine bagi membantu meringankan beban rakyat Palestin.
“Kami akan menganjurkan satu himpunan bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin dan di situ juga tabung atas nama yang sama akan digerakkan untuk kutip sumbangan bagi membantu saudara-saudara kita yang menderita di sana.
“Tabung itu juga akan diletakkan di semua jabatan dan agensi kerajaan dan hasil kutipan akhir nanti akan diserahkan kepada Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli untuk disalurkan kepada pihak berkaitan,” katanya. – 27 November, 2023