PUTRAJAYA – Peruntukan untuk kawasan Parlimen di bawah pembangkang tidak akan disalurkan kepada Ahli Parlimen yang telah ‘mencerca’ Kerajaan Perpaduan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapan penggulungannya pada Kongres Nasional Keadilan 2023, hari ini, Anwar yang juga presiden parti sebaliknya menegaskan peruntukan berkenaan akan disalurkan kepada ‘rakyat’.
“Kita salurkan peruntukan terus kepada rakyat, bukan kepada Ahli Parlimen. Mengapa kita nak salur kepada Ahli Parlimen yang hari-hari cerca kita, (ingin) menumbangkan kita, maki kita?,’’ soal beliau.
Ucapan Anwar mendapat tepukan daripada hampir 3,000 delegasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di mana kongres berkenaan berlangsung.
Awal tahun ini, Anwar telah mengurangkan peruntukan untuk Ahli Parlimen kerajaan daripada RM3 juta kepada RM1.3 juta, dalam usaha melaksanakan keperluan perbelanjaan berhemah.
Ahli Parlimen pembangkang, bagaimanapun, biasanya menerima peruntukan yang kurang dari jumlah berkenaan.
Anwar berkata, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sepatutnya mengadakan perbincangan dengan Putrajaya mengenai peruntukan yang diterima, namun tiada rundingan rasmi dilaksanakan sehingga kini.
Baru-baru ini, empat Ahli Parlimen Bersatu telah mengisytihar sokongan kepada Anwar.
Mereka ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan(Datuk Suhaili Abdul Rahman); Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.
Suhaili pada awal bulan ini mengesahkan menerima peruntukan tiga hari selepas menyatakan sokongan kepada Anwar. Beliau dan Iskandar telah digantung dari Bersatu masing-masing selama enam dan empat tahun.
Sementara itu, Azizi, seperti yang dilaporkan oleh media, menjelaskan peruntukan untuk kawasannya telah disalurkan menerusi Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) (PPNK ICU JPM).
Azizi juga mendakwa Zahari turut menerima peruntukan untuk kawasannya dan ia disalurkan menerusi agensi yang sama.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyangkal dakwaan kononnya beliau menyogok wakil-wakil rakyat pembangkang bagi menarik sokongan mereka terhadap kerajaan sekarang.
“Bila dia minta nak jumpa, saya kata buat keputusan dulu, baru jumpa. Keputusan dia, dia tahu dasar kita, dia lihat perkembangan ekonomi dan negara,” kata Anwar tanpa menyebut Ahli Parlimen terbabit.
Minggu lalu, Anwar berkata, empat Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytihar sokongan kepada pentadbirannya, berbuat demikian selepas hilang kepercayaan kepada pemimpin parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu. – 26 November, 2023