PUTRAJAYA — Pemuda PKR telah membuat laporan polis terhadap pengguna media sosial yang didakwa membuat ancaman bunuh dengan menawarkan habuan sebanyak RM5 juta bagi membunuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri-menteri Kabinet.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, laporan berkenaan dibuat di ibu pejabat polis Putrajaya pada 1.40 petang tadi.
“Laporan berkenaan dibuat terhadap video yang dimuatnaik dalam TikTok atas nama @jaiadani89 yang membuat ugutan bunuh ke atas Perdana Menteri dan menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang berjaya membunuh (Anwar),” katanya pada sidang media di Kongres Nasional Keadilan 2023 di sini, hari ini.
“Banyak komen-komen (dalam hantaran berkenaan) bukan hanya mengugut keselamatan Perdana Menteri, malah turut menyentuh mengenai isu agama dan kaum,’’ katanya yang memaklumkan video terbabit telah dipadam.
Kamil yang juga setiausaha politik Anwar berkata, ‘kebencian’ merupakan faktor kenapa video berkenaan dimuatnaik oleh pengguna media sosial tersebut.
Berdasarkan kepada tangkap layar video yang dikongsi kepada petugas media, pengguna media sosial terbabit menjadikan keputusan Kerajaan untuk membenarkan konsert Coldplay di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu lalu sebagai isu.
Pengguna media sosial itu mendakwa konsert berkenaan tidak sepatutnya diadakan susulan perang Palestin-Israel, di mana Gaza berdepan dengan kekejaman Zionis.
Dia juga berjanji untuk memindah wang sebanyak RM5 juta kepada sesiapa yang ‘menembak mati’ Anwar, menteri-menteri serta mereka yang mempunyai kaitan dengan PKR iaitu gabungan dalam Pakatan Harapan serta DAP. – 26 November, 2023