‘PKR perlu miliki cita-cita jadi parti dominan, terus tarik minat rakyat’

Kepimpinan Pusat parti itu turut digesa memperkasa ahli di peringkat cabang, terutama di negeri yang masih ketinggalan jauh dari sudut keahlian, kampung dan pedalaman

1:36 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Seorang perwakilan menggesa kepimpinan PKR supaya ia mempunyai cita-cita untuk menjadi parti dominan dalam kerajaan.

Perwakilan Pahang, Mohd Rafly Mohd Satar berkata, kepimpinan perlu melihat lebih jauh untuk terus menarik minat dan sokongan rakyat.

“Kita perlu berfikir secara besar (meluas), perlu ada cita-cita untuk menjadi parti yang dominan dalam pentadbiran negara ini pada masa akan datang.

“Kita mesti mengorak langkah dengan pantas dalam memastikan parti kita dapat terus menarik minat dan sokongan semua rakyat, terutama penduduk kampung serta pedalaman,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2023 di sini, hari ini.

Ketua Penerangan PKR Pahang itu turut menggesa pimpinan Pusat dapat memperkasa ahli di peringkat cabang, terutama di negeri berkenaan yang masih ketinggalan jauh dari sudut keahlian.

“Satu daripada perkara perlu diperkemaskan adalah memperkasa ahli di peringkat cabang. Gerak kerja parti peringkat akar umbi memerlukan banyak perkara yang harus diberi perhatian.

“Ada cabang yang tiada pejabat, ada terpaksa tutup sementara, malah ada tak dapat beroperasi berikutan kekangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata, hubungan baik antara pemimpin cabang, negeri dan Pusat juga perlu diperkemaskan.

“Ini sangat penting untuk memastikan semua perkara, termasuk arahan daripada Pusat dapat dilaksanakan dengan baik di peringkat cabang

“Kerana kita tahu setiap arahan itu bukan arahan biasa, justeru kita perlu memastikan cabang tidak ketinggalan daripada landasan gagasan Madani,” katanya.

Sementara itu, Perwakilan Johor melihat PKR masih terpinggir di negeri berkenaan walaupun wujud kerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri, susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan di pentadbiran Pusat.

Ketua Wanita Cabang Kluang, Haryati Abu Nasir berkata, pihaknya sedar PKR hanya mempunyai satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri berkenaan, namun ia menyumbang tujuh kerusi Parlimen di peringkat Persekutuan.

“Tampuk kepemimpinan diterajui insan hebat, Perdana Menteri kita (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tapi kami di akar umbi masih tercari-cari kemanisannya.

“Kami di Johor hanya mampu melirik detik bersejarah apabila Pengerusi Pahang (merujuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan pentadbiran dan kestabilan politik negeri itu.

“Semoga ada sinar dengan usaha di peringkat tertinggi untuk mengangkat suara kami dan membawa naratif perjuangan jelas di wilayah selatan. Semoga Johor tetap menjadi kubu terkuat mendepani asakan musuh kita, Perikatan Nasional (PN),” katanya. – 26 November, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related