PUTRAJAYA – Seorang perwakilan PKR menyindir wakil rakyat wanita pembangkang yang disifatkannya keliru dengan nama keluarga Lee dan Lim, selain cuba menakutkan masyarakat menggunakan sentimen perkauman.
Perwakilan PKR Melaka, Datuk Ginie Lim berkata, wakil rakyat wanita itu sepatutnya membicarakan isu dasar kerajaan dengan memberikan kritikan membina dan menjadi pembangkang berkesan.
“Nama saya Ginie Lim bukan Ginie Lee, tiada kaitan langsung dengan pemimpin Singapura yang bermula dengan Lee dan tiada langsung dengan pimpinan DAP yang nama keluarganya Lim.
“Sebagai pemimpin wanita, saya sentiasa bangga apabila wanita terpilih sebagai wakil rakyat, namun saya cukup malu apabila seorang wakil rakyat wanita yang gelar dirinya doktor, keliru dengan nama keluarga Lee dan Lim,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di sini, hari ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya itu berkata, wakil rakyat terbabit secara jelas memutar belit fakta semata-mata mahu meraih undi pada pilihan raya.
“Wakil rakyat berkenaan seharusnya mencontohi pimpinan wanita PKR, khususnya bekas presiden parti itu merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Bicaralah soal dasar kerajaan yang boleh membawa kemajuan sosio politik wanita, berilah kritikan membina.
“Jadilah pembangkang yang berkesan, bukannya menggunakan budaya menakutkan masyarakat dan memainkan sentimen perkauman,” katanya.
Malah, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga cukup terbuka dengan cadangan membina.
“Perdana Menteri sudah meletakkan tanda noktah ke atas politik kotor yang mana beliau sendiri menjadi mangsa politik,” katanya.
Polis sebelum ini sudah memulakan siasatan terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Melalui rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat yang tular baru-baru ini, Siti Mastura pada majlis di Kemaman, Terengganu mendakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, adalah sepupu kepada ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Selain itu, Siti Mastura dalam rakaman itu mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah sepupu Kit Siang dan mengaitkan isteri Guan Eng dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok. – 26 November, 2023