PUTRAJAYA – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merasmikan kongres parti itu malam ini dengan menyindir Bersatu susulan perhimpunan agung tahunannya yang penuh drama.
Saifuddin memulakan ucapannya dengan menekankan tumpuan PKR terhadap isu nasional berbanding pergolakan Bersatu baru-baru ini yang berpunca daripada pengumuman Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau tidak akan bertanding semula.
“Dalam ucapan dasar presiden (Bersatu), beliau mengumumkan akan meletakkan jawatan dan berundur. Perwakilan dan majlis tertingginya membantah keputusan itu. Pada ucapan penggulungan hari ini, Presiden berkata beliau tidak lagi mahu berundur.
“Isu rakyat, ekonomi, dan (perkara) antarabangsa tidak diutamakan. Kongres PKR tidak boleh begitu. Kongres (kita) mesti membincangkan kestabilan politik, perancangan ekonomi, dan fokus kepada kebajikan sosial rakyat. Paling penting, tadbir urus,” katanya kepada perwakilan parti di sini, malam ini.
Untuk konteks, perhimpunan agung tahunan kedua-dua parti itu secara kebetulan diadakan pada tempoh sama.
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu diadakan antara 23 hingga 25 November, manakala kongres PKR pada 25 dan 26 November.
Awal hari ini, Muhyiddin membuat ‘pusingan u’ apabila menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan Bersatu akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat restu daripada isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Terdahulu, perwakilan Bersatu dalam perhimpunan parti itu sebulat suara menolak keputusan Muhyiddin untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan parti itu tahun depan.
Bantahan itu dikemukakan menerusi 20 pembahas yang mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan.
Sementara itu, Saifuddin berkata, kongres PKR tahun ini adalah penting kerana ia bertepatan dengan ulang tahun Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Tambahnya, kongres ini juga diadakan sempena ulang tahun ke-25 parti itu pada April tahun depan. – 25 November, 2023