Kerajaan Thailand berterima kasih kepada Malaysia atas bantuan pembebasan tebusan rakyatnya di Gaza

Pada 12 Oktober lalu, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dilaporkan meminta bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membebaskan warganya yang ditahan Hamas

6:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan Thailand melalui Kementerian Luarnya merakamkan ucapan terima kasih kepada Malaysia atas peranannya membantu pembebasan warga Thailand yang dijadikan tebusan oleh Hamas.

Dalam satu kenyataan semalam, kementerian terbabit turut mengucapkan terima kasih kepada Qatar, Mesir, Iran dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) atas bantuan mereka berhubung perkara itu.

Menurut kenyataan itu, ketika ini identiti tebusan masih tidak diketahui.

Bagaimanapun, mereka telah memasuki Israel melalui Lintasan Sempadan Rafah selepas dibebaskan dan sedang dibawa ke pusat pemprosesan di Pangkalan Tentera Udara Hatzerim.

“Kerajaan Diraja Thai mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghulurkan bantuan, dalam memastikan pembebasan tebusan pertama ini, iaitu kerajaan Qatar, Mesir, Iran, Malaysia dan ICRC.

“Adalah menjadi harapan besar kami agar semua tebusan yang masih ada akan dijaga dan selamat dibebaskan secepat mungkin.

“Kementerian (juga) mengucapkan tahniah kepada 10 warga Thailand ini dan keluarga mereka, dan akan melakukan segala yang mungkin untuk mempercepatkan kepulangan mereka ke Thailand,” katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dilaporkan meminta bantuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membebaskan warganya yang ditahan Hamas.

Sementara itu, Menteri Luar Thailand, Parnpree Bahiddha-Nukara menggunakan platform media sosial X untuk menyatakan rasa terima kasihnya kepada mereka yang terlibat dalam proses pembebasan itu.

“Bagi pihak kerajaan saya dan keluarga tebusan rakyat Thai, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang membantu atas semua usaha keras mereka dalam mendapatkan pembebasan 10 tebusan ini,” katanya.

Scoop telah menghubungi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mendapatkan pengesahan dan kini sedang menunggu jawapannya.

Qatar menjadi perantara gencatan senjata selama empat hari antara Israel dan Hamas di kawasan utara dan selatan Gaza, dalam perjanjian yang menerima bantuan daripada Mesir dan Amerika Syarikat (AS).

Gencatan senjata sementara itu bermula semalam dan melibatkan pertukaran tawanan dan tebusan yang ditahan oleh Israel dan Hamas. – 25 November, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related