Pembohongan Muhyiddin dalam ucapan dasar PAT Bersatu bukti pembangkang masih belum ‘move on’

Intipati beliau jelas bertentangan dengan realiti sebenar dilakukan Kerajaan Perpaduan

8:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menjelang setahun pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembangkang seolah-olah masih tidak boleh menerima hakikat atau ‘move on’, sehinggakan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Ucapan Dasar Presiden Bersatu pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu hari ini, turut ‘memerli’ Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, intipati ucapan Muhyiddin itu jelas bertentangan dengan realiti sebenar, malah beliau dilihat cuba ‘menangguk di air keruh’ apabila mengeluarkan beberapa kenyataan tidak benar mengenai Kerajaan Perpaduan.

Kenyataan Itu antaranya, menyentuh mengenai pendirian kerajaan berhubung isu konflik Palestin-Israel dengan mendakwa Perdana Menteri sedang berusaha membawa keluar rakyat Palestin dari Gaza dan tindakan itu, disifatkan sebagai pengkhianatan kepada perjuangan rakyat di wilayah berkenaan.

Namun hakikatnya, Anwar menegaskan, Malaysia berpendirian teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman dilakukan rejim Zionis.

Pendirian tegas Anwar berhubung isu Gaza di APEC 2023 mendapat pujian kerana tidak berselindung mengecam kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin, di hadapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 24 November, 2023

Malah, Anwar dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini dengan tegas dan berani menyatakan pendirian Malaysia kepada Presiden AS, Joe Biden bahawa serangan ke atas Palestin perlu dihentikan segera dan tidak boleh ditangguhkan lagi.

“Kebetulan pada sidang akhir itu kedudukan Malaysia adalah berdepan dengan Presiden Joe Biden dan sebelah kanan saya itu adalah Setiausaha Negara AS, Antony Blinken… maka saya tiada pilihan dan menyuarakan dengan tegas pendirian.

“Saya menyatakan bahawa ada permasalahan, di mana kita diminta mengutuk Rusia dalam soal Ukraine tetapi membisu dengan pembunuhan kejam, keganasan yang saya sebut sebagai ‘atrocities’.

“Dan saya sebut perkataan yang agak penting, jangan lagi orang barat menganggap hegemoni kolonial menentukan dasar dan bentuk tindakan kita, maka saya menyatakan mereka tidak boleh memaksa untuk menentukan pendirian kita, di situ saya nyatakan kita mesti sekurang-kurangnya menghentikan serangan sekarang – ‘end stop now'” kata Anwar.

Dalam kenyataan Muhyiddin lagi, beliau turut menyentuh berkaitan pertumbuhan ekonomi negara yang merudum tanpa memasukkan fakta mengenai pelaburan RM63 bilion yang berjaya dibawa masuk Anwar, menerusi beberapa pertemuan dua hala diadakan di luar sidang mesyuarat APEC, baru-baru ini.

Pelaburan bagi misi perdagangan itu adalah daripada beberapa syarikat gergasi AS antaranya, Abbott Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services, Enovix dan Lam Research.

Perdana Menteri ketika mengadakan pertemuan dengan ahli perniagaan dan pakar teknologi Islam yang berpusat di San Francisco, Amerika Syarikat baru-baru ini. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 24 November, 2023

‘Kedangkalan’ ucapan Muhyiddin itu ternyata hanya cakap kosong semata-mata tanpa beralaskan fakta sebenar, bertujuan memburukkan usaha dilakukan Kerajaan Perpaduan bagi mempertingkatkan kadar pertumbuhan ekonomi negara.

Bukan itu sahaja, ibarat ‘masuk bakul angkat sendiri’, Muhyiddin dengan beraninya mengatakan Kerajaan Perpaduan mendapat markah gagal daripada rakyat selepas melihat laporan prestasi mereka selepas setahun memerintah.

“Ini berbeza dengan prestasi kerajaan Perikatan Nasional di mata rakyat. Dalam tempoh setahun pertama mentadbir negara, kita masih dapat mengekalkan sekitar 60 peratus tahap puas hati rakyat.

“Walaupun pada masa itu kita berhadapan dengan cabaran paling getir dalam sejarah negara, iaitu wabak COVID-19 dan penutupan ekonomi. Ini bermakna, walaupun dahulu PH kata kita gagal, rakyat kata kita lulus. Yang gagal sebenarnya adalah mereka,” kata Muhyiddin dalam ucapannya.

Namun, pada hakikatnya, Muhyiddin dikecam hebat semasa pemerintahannya ketika Malaysia bergelut dengan wabak COVID-19.

Malah, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (PKR) mendakwa, Muhyiddin bersama seluruh anggota Kabinet PN gagal menjalankan tugas mentadbir negara berdasarkan empat bukti yang dikemukakannya.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, bukti pertama yang memerlukan Ahli Parlimen Pagoh itu meletak jawatan adalah kerana beliau gagal menangani pandemik COVID-19 hingga kes tertinggi melepasi 200,000 pada ketika itu.

“Bukti kegagalan kedua adalah kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2020 semakin teruk, iaitu jatuh ke kedudukan ke-57 berbanding tangga ke-51 pada tahun sebelumnya dalam masa 11 bulan Muhyiddin mentadbir negara.

“Kedudukan yang merosot ini antaranya disumbangkan pembebasan atau pelepasan kes-kes mahkamah yang meragukan dalam beberapa kes berprofil tinggi bagi kes rasuah seperti kes Riza Aziz, Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor,” kata Hassan.

Selain itu, Hassan berkata, Muhyiddin bersama seluruh barisan Kabinetnya gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik, hingga menyebabkan penilaian penarafan kedudukan kewangan Malaysia jatuh dan pertumbuhan ekonomi menguncup teruk.

Seperti kebiasaan, pastinya pembangkang tidak lari daripada memainkan sentimen perkauman dengan mendakwa Perdana Menteri bukan datang dari parti Melayu, sebaliknya DAP merupakan parti terbesar dalam Kerajaan Perpaduan.

Dalam ucapannya itu, Muhyiddin yakin orang Melayu akan hilang kuasa selama-lamanya apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan, seperti mana yang dituntut Ahli Parlimen DAP.

“Jika ini berlaku, DAP akan menjadi sebuah parti yang amat berkuasa di dalam kerajaan. Saya percaya, pada masa itulah cita-cita utama DAP yang memperjuangkan kesamarataan hak dan penghapusan dasar-dasar pro-Bumiputera seperti yang terkandung di dalam Deklarasi Setapak 1967 dan Perlembagaan DAP akan dilaksanakan.

“Adakah kita sanggup biarkan perkara ini berlaku saudara-saudara? Adakah kita sanggup biarkan ia berlaku? soal Muhyiddin.

Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak benar apabila Anwar selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sendiri memberi jaminan DAP tidak akan menguasai gabungan itu sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan.

Menurut Anwar, DAP merupakan rakan yang setia dan mereka juga menerima prinsip Perlembagaan negara.

Sehubungan itu, Anwar menasihatkan rakyat supaya jangan bimbang dan tidak tertipu dengan hasutan jahat mengenai DAP seperti dilemparkan pembangkang.

Secara kesimpulannya, ucapan dasar Muhyiddin sendiri sudah memberikan bayangan bahawa beliau masih belum ‘move on’, malah sengaja mempolemikkan situasi politik dan ekonomi negara yang kini berada dalam keadaan semakin baik sejak tampuk pemerintahan diambil alih Anwar. – 24 November, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related