KUALA LUMPUR – Beberapa hari selepas menyokong pembatalan konsert Coldplay, PAS kini menggesa kerajaan untuk membatalkan program ratu cantik, Miss World Noble Queen International 2023 yang akan berlangsung di ibu negara, bulan depan.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahya berkata, penganjuran program seperti itu yang melibatkan Tourism Malaysia tidak sepatutnya dibenarkan untuk diadakan di negara ini.
Menurutnya, program itu bukan sahaja memberikan imej buruk kepada negara tetapi tidak sesuai diadakan ketika rakyat Palestin sedang berdepan penindasan dan kezaliman rejim Zionis.
“DUPP sependapat dengan beberapa Mufti yang memberikan pandangan bahawa sebarang program hiburan yang melalaikan termasuklah konsert Coldplay tidak patut dibenarkan dalam negara.
“Apakah kita masih lagi tidak mahu mengambil pengajaran terhadap bala bencana yang pernah menimpa negara sebagai suatu teguran daripada Allah SWT?” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, Ahmad turut menggesa kerajaan supaya mengeluarkan pekeliling untuk memastikan tiada lagi program seperti itu boleh dibenarkan untuk diadakan di negara ini.
Pertandingan ratu cantik bertemakan ‘Environmental Protection’ (Perlindungan Alam Sekitar) itu bertujuan untuk meraikan kecantikan dalaman dan fizikal, bakat, dan kecerdasan di samping mempromosikan kepelbagaian budaya dan lanskap Malaysia.
Pertandingan itu menerima penyertaan daripada 25 perwakilan dari lebih 20 negara di dunia termasuk Malaysia, Indonesia, Switzerland dan Jepun.
Semalam, Muhammad Ismi Mat Taib (Parit – PN) secara terbuka membantah penganjuran pertandingan itu semasa berucap di Dewan Rakyat, di mana beliau menekankan Malaysia tidak wajar menjadi tuan rumah bagi acara seumpama itu.
Katanya, ini kerana majoriti rakyat di negara ini beragama Islam, dan Islam adalah agama rasmi Persekutuan.
Pengasas pertandingan itu Jan Sit, pada 21 November lalu dilaporkan sudah membuat laporan polis berhubung bantahan dikemukakan seorang pengguna media sosial terhadap program itu.
Pengguna media sosial terbabit mendakwa program yang akan diadakan pada 12 Disember itu sebagai pertandingan Ratu Cantik Pondan. – 24 November, 2023