KUALA LUMPUR — Tiada keperluan untuk memperkenalkan pendidikan alam sekitar sebagai satu subjek khusus di sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pada masa ini tajuk-tajuk berkaitan pendidikan alam sekitar dalam kurikulum mata pelajaran telah sedia ada di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Pendidikan alam sekitar dalam kurikulum sedia ada bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid tetapi berupaya mengaplikasi dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
“Tajuk yang dipelajari telah dinyatakan secara secara eksplisit dalam standard kandungan dan standard pembelajaran kurikulum mata pelajaran seperti Geografi, Asas Kelestarian, Sains, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral,’’ katanya dalam jawapan bertulis pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Fadhlina menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang ingin tahu sama ada Kementerian Pendidikan bercadang untuk memperkenalkan semula subjek khusus berkenaan pendidikan alam sekitar yang pernah dicadangkan pada 2017.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pendidikan alam sekitar merupakan salah satu daripada Elemen Merentas Kurikulum (EMK) melalui Kelestarian Alam Sekitar dan Kelestarian Global.
“Kedua-dua elemen ini merupakan unsur nilai tambah yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) semua mata pelajaran di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Hal ini juga adalah selaras dengan agenda negara dalam menyahut advokasi perubahan iklim dunia (global climate change) dalam memastikan penekanan dan kepentingan menghargai alam sekitar.
“Justeru, kesedaran ini dapat dipupuk bagi membentuk etika murid untuk menghargai alam,’’ katanya. – 23 November, 2023