KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menyemak dan meneliti satu pendekatan yang lebih adil dapat dilaksanakan dalam memastikan kelestarian industri teksi.
Perdana Menteri turut berharap agar usaha yang dirancang ini mampu meningkatkan taraf hidup pemain industri teksi dan mutu perkhidmatan teksi kelak.
“Saya telah dikunjungi oleh ahli-ahli daripada Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin Dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) yang diterajui oleh saudara Kamarudin Hussain,’’ katanya dalam hantaran menerusi Facebooknya hari ini.
Anwar berkata, beliau turut mendengar beberapa cadangan penambahbaik ekosistem industri teksi.
Ia termasuk memastikan kebajikan sekitar 40,000 pemandu teksi di seluruh Malaysia terus dipelihara.
“Didoakan agar usaha yang dirancang ini mampu meningkatkan taraf hidup pemain industri teksi dan mutu perkhidmatan teksi kelak, Insya-Allah,’’ katanya. – 23 November, 2023