PLKN 3.0 mungkin dilaksana mulai 2025: Mohamad Hasan

Tiada kemungkinan untuk PLKN dilaksanakan semula tahun depan memandangkan perkara itu tidak dimasukkan ke dalam Belanjawan 2024

6:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 mungkin hanya akan dilaksanakan bermula 2025, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata tiada kemungkinan untuk PLKN dilaksanakan semula tahun depan memandangkan perkara itu tidak dimasukkan ke dalam Belanjawan 2024.

Beliau berkata 13 Kem Askar Wataniah di seluruh negara yang dicadangkan sebagai lokasi PLKN diadakan juga perlu terlebih dahulu melalui proses naik taraf bagi tujuan berkenaan.

“Jadi (pelaksanaan) PLKN ini masih lagi dalam peringkat kajian, Jemaah Menteri dah luluskan supaya kementerian lakukan kajian lanjut untuk hidupkan semula PLKN.

Segala analisis dan maklum balas berkaitannya termasuk mekanisme pelancaran semula itu akan dibincangkan bersama pihak berkepentingan, masyarakat dan NGO (badan bukan kerajaan) seterusnya dibawa kepada Jemaah Menteri sebelum dimuktamadkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pertahanan telah mendapat kelulusan untuk membuka Pejabat Atase Pertahanan baharu di Mesir yang dijangka akan mula beroperasi tahun depan.

Mohamad berkata pembukaan pejabat itu merupakan sebahagian daripada strategi negara dalam menjalinkan hubungan serantau antarabangsa dalam bidang pertahanan.

Beliau berkata ketika ini, terdapat 26 Pejabat Atase Pertahanan di luar negara dengan pejabat di Jordan ditutup pada 2018, manakala Pejabat Atase Pertahanan di Pretoria, Afrika Selatan pula adalah satu-satunya pejabat atase pertahanan di Benua Afrika yang boleh merangkumi kawasan selatan dan tengah benua itu.

“Kita buka di Mesir, telah diluluskan kerajaan, ia boleh merangkumi kawasan di Timur Tengah utara dan kawasan utara Afrika,” katanya. 

Bagaimanapun katanya, Kementerian Pertahanan tidak akan menutup Pejabat Atase Pertahanan di Vientiane, Laos, walaupun ia kurang aktif memandangkan negara itu akan menjadi Pengerusi ASEAN 2024. 

Mengenai isu projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Mohamad berkata 3,307 unit RKAT  sedang dalam pembinaan antaranya 284 unit di Markas Sungai Pancing, Pahang; Kem Tentera Syed Sirajuddin Gemas, Negeri Sembilan (1,309 unit);  Kem Muara Tuang, Sarawak (190) dan Kem Lok Kawi, Sabah (513).

“RKAT itu menggunakan peruntukan RM517.4 juta manakala RM400 juta pula untuk menambah baik dan menaik taraf RKAT sedia ada…kerana RKAT dulu terlampau kecil dan tidak sesuai untuk didiami keluarga,”  katanya.

Mengulas isu sistem radar jarak jauh bagi perolehan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa hanya dalam peringkat prototaip, Mohamad menyangkal dakwaan itu kerana aset berkenaan kini dikategorikan sebagai dalam pengeluaran dan sudah matang selain dijenamakan semula sebagai GM400 Alpha.

Selain itu, beliau berkata dakwaan laporan penilaian fizikal bagi perolehan aset itu telah dimanipulasi  juga tidak benar kerana kriteria penilaian adalah berdasarkan jadual pematuhan dokumen petender dan ahli pemeriksa fizikal yang terdiri daripada pegawai yang dilantik TUDM berdasarkan kepakaran bidang masing-masing.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM19,731,497,700 yang diperuntukkan kepada kementerian itu dengan lebih suara menyokong selepas dibahaskan 15 Ahli Parlimen. – 23 November, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Zii Jia management, BAM should have kept mum on image rights, says sports analyst

Mohd Sadek Mustafa says such deals the norm among athletes

Related