KUALA LUMPUR – Ini bukannya susur naik tapi susur maut.
Demikian kata netizen selepas video memaparkan kerusi roda digunakan seorang profesor universiti terbalik ketika cuba melalui tanjakan (ramp) digunakan Orang Kurang Upaya (OKU) tular di laman X.
Difahamkan, individu dalam video tersebut merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Arifin Abdu yang ‘cuba’ menggunakan kerusi roda bagi merasai cabaran dihadapi penuntut OKU di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.
Sewaktu kejadian itu, beliau cuba melalui tanjakan tersebut untuk ke restoran Astana Putra di UPM.
Video tersebut yang dikongsi pensyarah kanan di Jabatan Parasitologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr Noraishah Mydin Abd Aziz bagaimanapun mendapat perhatian ramai dengan lebih 130,000 tontonan setakat ini.
Dalam keterangan video itu, beliau memuji kesungguhan dan keberanian Prof Arifin untuk menyelami dan memahami perasaan penuntut OKU di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Prof Arifin yang berani. Syabas kepada UPM. Profesor yang menyelami dan cuba memahami perasaan mahasiswa OKU. InsyaAllah #UPM4All. Kita berjuang untuk semua,” katanya.
Insiden itu turut menarik perhatian seorang pengguna X yang mendoakan agar Prof Arifin tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Adakah dia okay? Harap tiada kecederaan serius. Memang kena tukar fasiliti. Bukti OKU tidak dilayan dengan baik,” katanya.
Ciapan itu kemudiannya dibalas Dr Noraishah yang berkata, Prof Arifin tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Prof okay. Dia hebat. Alhamdulillah ada pemimpin seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu, rata-rata netizen berpendapat tanjakan itu tidak sesuai untuk golongan OKU dan perlu diubahsuai semula demi memastikan keselamatan penggunanya.
“Ramp tu memang tak sesuai untuk kegunaan OKU dan tak mesra untuk golongan itu. Pengurusan restoran boleh buat penambahbaikan segera. Harap tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku,” kata @GBDzero77.
“Tengok dengan mata kasar dah boleh agak tak sesuai pembuatan ramp tu. Kesian Prof. Kena ada etika buat sehabis baik dari sekadar ada sahaja,” kata @LayaaYusoff.
Seorang lagi beberapa netizen turut mempertikai kelayakan pihak yang membina tanjakan tersebut yang didakwa mengambil sikap sambil lewa dalam menyiapkan kemudahan itu.
“Tak tanya kepada mereka yang akan menggunakan ramp tu ke? Macam melepas batuk di tangga je mereka buat ramp tu. Tak mesra pengguna dan bahaya. Berjuang untuk semua,” kata @daddydon65.
“Memamg ramp kena diuji pihak pengurusan tertinggi ke baru tahu ia perlu diperbaiki?” kata @momochi906.
“Siapalah punya idea buat ramp macam tu. Kalau bukan bidang, tanyalah pada yang pakar. Dahkan tak pasal tiba-tiba nampak langit,” kata @KamalRezuan. – 23 November, 2023