PUTRAJAYA – Selepas hampir lima jam menunggu ketibaan ‘Mr H’ di Balai Polis Presint 11 di sini, pengamal media hampa apabila dia tidak kelihatan.
Individu terbabit dikatakan sepatutnya memberi keterangannya berhubung isu video lucah mengaitkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Mohammad Agus Yusoff.
Sejak ia didedahkan dan tular di media sosial, identiti Mr H yang didakwa sebagai ‘dalang’ di sebalik kewujudan video itu masih menjadi persoalan dan kekal misteri.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, Mr H akan diambil keterangan di balai polis berkenaan pada pukul 5.30 petang ini.
Susulan kenyataan itu, lebih 20 pengamal media dari pelbagai agensi tempatan ‘berkampung’ di lokasi berkenaan bagi menunggu kehadiran Mr H sejak pukul 4.30 petang tadi.
Namun, setakat pukul 9 malam, kelibat individu terbabit tidak kelihatan dan difahamkan, keterangannya tidak diambil hari ini.
Sumber memberitahu, keterangan Mr H berkemungkinan diambil esok di lokasi berlainan.
Terdahulu, Razarudin berkata, polis akan memanggil dan merakam keterangan Mr H susulan pendedahan Agus yang memberikan maklumat mengenai individu terbabit.
Kelmarin, Agus tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang bagi memberi keterangan kali kedua berhubung kes video perbualan mirip dirinya dengan seorang penolong pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani itu.

Sebelum ini, tular video berdurasi tiga minit menerusi media sosial yang memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Agus dengan Wahab.
Agus pada sidang medianya di sebuah hotel di Bangi pada 17 November lalu yang turut dihadiri Wahab, menafikan perbualan lucah antara mereka, malah mendakwa video itu disunting dan laporan polis berhubung perkara berkenaan sudah dibuat.
Sebaliknya, katanya, beliau dan Wahab yang menyertai agensi itu pada 1 November lalu, hanya berbual ‘biasa’.
Mr H didakwa bertanggungjawab menyunting audio dalam video itu yang dikatakan sebagai cara bagi menjatuhkan reputasi Agus. – 22 November, 2023