KUALA LUMPUR – Kurang dua jam sebelum memulakan persembahan di Malaysia, instagram kumpulan rock dari Britain, Coldplay memuatnaik hantaran menggambarkan keterujaan dan ‘rasa tidak sabar’ untuk menghiburkan puluhan ribu peminat di negara ini.
Malah, ia turut berterima kasih kerana menerima kumpulan itu mengadakan persembahan di Malaysia.
Hantaran di instastory itu memaparkan peralatan tertera logo Menara Berkembar Petronas bertarikh hari ini, dipercayai diambil ketika kumpulan terbabit membuat persediaan saat akhir di pentas lokasi konsert, Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Pertama kali di Kuala Lumpur, konsert terakhir tahun ini. Pemandangan ini ditetapkan untuk malam yang hebat. Kami sangat berterima kasih atas sambutan hangat dan tidak sabar mengadakan persembahan. Terima kasih banyak kerana menerima kami di Malaysia,” menurut hantaran itu.
Menerusi hantaran lain di instastory, ia turut berkongsi video menunjukkan suasana dalam stadium dengan kapsyen ‘Hello Kuala Lumpur’.
Setakat ini, puluhan ribu peminat Coldplay membanjiri stadium berkenaan, malah ada antara mereka tiba sejak jam 9 pagi tadi.
Biarpun hujan lebat, mereka sedikit pun tidak berganjak dari tempat menunggu.
Pintu masuk ke dalam stadium mula dibuka pada jam 5.13 petang dan konsert dijangka bermula 9 malam.
Terdahulu, Coldplay yang mencatat rekod sebagai antara kumpulan yang berjaya menjual tiket terbanyak dan terlaris di dunia, dilaporkan tiba di Malaysia awal pagi semalam bagi menjayakan siri konsert dinamakan Coldplay: Music of The Spheres World Tour itu di negara ini.
Susulan penganjurannya, orang ramai diingatkan supaya menjaga tatasusila, termasuk tidak melakukan provokasi dan mengelak daripada mencetuskan kekacauan semasa atau selepas persembahan konsert.
Ketua Polis Cheras, Asistan Komisioner Zam Halim Jamaluddin menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas ke atas apa-apa pelanggaran undang-undang sempena penganjuran konsert berkenaan.
Beliau berkata, sebagai pihak berkuasa, PDRM juga sudah membuat persiapan rapi, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.
Katanya, persiapan itu bukan sahaja membabitkan pemeriksaan dan pemantauan di lokasi, malah kelancaran lalu lintas. – 22 November, 2023