Konsert Coldplay: Polis minta jaga tatasusila, elak provokasi, ‘PDRM sudah buat persiapan rapi’

Ketua Polis Cheras berkata, persiapan itu bukan sahaja membabitkan pemeriksaan terhadap individu dan pemantauan di lokasi, malah memastikan kelancaran lalu lintas

11:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya menjaga tatasusila, termasuk tidak melakukan provokasi dan mengelak daripada mencetuskan kekacauan semasa atau selepas persembahan konsert kumpulan rock dari Britain, Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Amaran itu diberikan Ketua Polis Cheras, Asistan Komisioner Zam Halim Jamaluddin yang turut menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas ke atas apa-apa pelanggaran undang-undang sempena penganjuran konsert Coldplay: Music of The Spheres World Tour berkenaan.

Beliau berkata, sebagai pihak berkuasa, PDRM juga sudah membuat persiapan rapi, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.

Katanya, persiapan itu bukan sahaja membabitkan pemeriksaan dan pemantauan di lokasi, malah kelancaran lalu lintas.

Zam berkata, sebagai langkah keselamatan di stadium, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan selepas penonton memasuki pekarangannya.

Menurutnya, pihak polis turut menyenaraikan 13 barang yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium, iaitu:

  1. Mercun/bunga api/suar
  2. Topi keledar
  3. Laser/Laser pen
  4. Sebarang objek tajam (besi/kayu)
  5. Senjata seperti parang dan merbahaya
  6. Minuman keras
  7. Payung/tongkat
  8. Powerbank
  9. Botol air
  10. Pemetik api/mancis
  11. Rokok/rokok elektronik
  12. Drone
  13. Pembesar suara

“PDRM tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk atau dalam kawasan pekarangan stadium,” katanya menerusi kenyataan.

Bagi memastikan kelancaran lalu lintas, beliau berkata, PDRM menasihati orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ujarnya, mereka juga dinasihat tidak melalui jalan di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil jika tidak bertujuan menonton konsert itu, bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

Pada masa sama, mereka dinasihat mematuhi arahan daripada anggota polis bertugas, selain mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur ketika sedang memandu kenderaan di sekitar stadium.

“Pengguna jalan raya juga tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium.

“Tindakan saman dan tunda akan diambil kepada kenderaan yang menghalang lalulintas.

“Seyogia diingatkan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT KL) hanya berperanan mengatur pergerakan lalu lintas di sekitar stadium,” katanya yang memaklumkan acara bermula pada jam 8 malam itu, dijangka disaksikan 75,000 penonton.

Sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051; Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Coldplay yang menjadi kumpulan mencatat rekod antara artis berjaya menjual tiket terbanyak dan terlaris di dunia, dilaporkan sudah tiba di ibu negara awal pagi tadi bagi menjayakan siri konsert itu di Malaysia.

Terdahulu, penganjuran konsert kumpulan itu dikatakan mencetuskan kontroversi apabila artis dari barat berkenaan dibenarkan mengadakan konsert ketika negara bersolidariti terhadap konflik di Palestin, malah ada pihak menggesa acara terbabit dibatalkan.

Manakala, ada menyarankan konsert berkenaan seharusnya diteruskan memandangkan Coldplay dikatakan menyokong Palestin dan menolak penindasan.

Situasi itu menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini berkata, beliau akan berbincang dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berhubung keperluan untuk meneruskan penganjuran konsert kumpulan berkenaan.

Tegasnya, Coldplay antara kumpulan yang menyokong Palestin, malah penganjuran konsert berkenaan diluluskan kerajaan sebelum ini. – 21 November, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

The silent punch heard around the country – Terence Fernandez

The assault of deaf e-hailing driver raises the question if we are a nation divided by class

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related