KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan emel ancaman bom di sembilan sekolah antarabangsa di Lembah Klang adalah palsu dan dihantar bagi mendatangkan kegusaran kepada pihak pengurusan institusi pendidikan itu serta ibu bapa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, justeru, pihak sekolah dan ibu bapa dinasihatkan tidak panik sekiranya menerima emel yang menyatakan ada ancaman bom di sekolah.
Menurutnya, pihak terbabit perlu melaporkannya kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut dijalankan, sekali gus untuk mengelakkan timbul kegusaran dalam kalangan masyarakat yang tidak mengetahui kesahihan maklumat terbabit.
“Polis kontinjen Selangor mengesahkan, ada menerima tujuh maklumat repot pertama berkaitan email ancaman bom ditanam di beberapa sekolah. Pengirim emel menggunakan nama [email protected] menghantar ancaman bom ke beberapa sekolah di Kajang, Petaling Jaya, Kuala Langat, Subang Jaya dan Shah Alam.
“Sejurus menerima maklumat terbabit, pihak polis mengarahkan pasukan unit pemusnah bom polis kontinjen Selangor menjalankan siasatan lanjut. Hasil siasatan di tempat kejadian hingga 1 tengah hari ini, tidak menemui sebarang bom yang tertanam di sekolah dinyatakan.
“Emel terbabit adalah satu berita palsu yang mahu mendatangkan kegusaran kepada pihak sekolah dan ibu bapa,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan bersama agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) bagi mendapatkan motif di sebalik emel palsu itu, selain memberi jaminan keadaan di kawasan sekolah dan persekitarannya adalah selamat.
“Keutamaan akan diberi dalam apa keadaan sekalipun, bagi memastikan pelajar sentiasa berada dalam persekitaran selamat dan ibubapa tidak perlu risau keselamatan anak-anak mereka,” katanya.
Hussein berkata, orang ramai juga diingatkan tidak menyebarkan sebarang berita palsu kerana boleh mendatangkan kerisauan, kebimbangan dan mengancam ketenteraman awam.
“PDRM (Polis Diraja Malaysia) dengan tegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terbabit dengan penyebaran berita palsu ini yang boleh disabitkan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan merangkumi berita palsu secara bertulis atau lisan.
“Jika disabitkan dengan kesalahan, (boleh) penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya. – 21 November, 2023