Keputusan rayuan kes bunuh CEO Cradle Fund diketahui 8 Feb 2024

Berdasarkan semakan mahkamah, tarikh tersebut ditetapkan semasa pengurusan kes terbabit pada 16 Nov lepas secara dalam talian

3:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Feb tahun depan untuk keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, lima tahun lepas.

Tarikh sama juga ditetapkan untuk keputusan rayuan Samirah dan dua remaja itu untuk mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi, termasuk penemuan bahawa kebakaran itu yang tercetus di bilik Nazrin “dilakukan dengan sengaja”.

Berdasarkan semakan mahkamah, tarikh tersebut ditetapkan semasa pengurusan kes terbabit pada 16 Nov lepas secara dalam talian.

Pada 23 Okt lepas, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli menangguhkan keputusan itu selepas selesai mendengar hujah pihak pembelaan dan pendakwaan.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Samirah dan dua remaja tersebut menyelesaikan hujahannya pada 23 Okt manakala pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim selesai berhujah pada 17 Okt.

Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Samirah, 48, yang juga balu Nazrin, serta dua remaja yang kini berumur 21 dan 18 tahun daripada tuduhan membunuh Nazrin selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Samirah dan kedua-dua remaja serta seorang wanita warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, telah didakwa membunuh Nazrin di rumahnya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokan harinya.

Pada 30 Jun 2022, Samirah dan kedua-dua remaja itu memfailkan rayuan bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin “dilakukan dengan sengaja.” – 21 November, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related