KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah, Nam Ron berpendapat mustahil untuk menggantikan dialog lain yang tidak diucapkan dalam rakaman asal video tular bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Mohammad Agus Yusoff bersama penolong pegawainya, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.
Bercakap berdasarkan pengalamannya sebagai anak seni yang turut terlibat dalam kerja belakang tabir, Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan berkata, proses ‘Automated Dialogue Replacement (ADR) atau ‘dubbing’ bukan perkara mudah kerana gerakan bibir (lip-sync) harus selari dengan ucapan dialog.
“Menggantikan dialog lain yang tidak seperti diucapkan di rakaman asal adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan kerana gerak bibir tidak selari dengan ucapan.
“Salah satu untuk menambah atau menggantikan dialog baharu adalah dengan menggunakan teknik voice over seperti yang dinyatakan Wahab sewaktu sidang media.
“Bagaimanapun teknik ini hanya digunakan untuk menampal suara pada imej lain, bukan pada imej yang sama,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini yang meragui dakwaan Wahab mengenai video perbualan yang tular itu.
Pada masa sama, Nam Ron turut memberikan contoh bagi memberikan pemahaman lebih jelas mengenai teknik ‘voice over’.
“Sebagai contoh, watak lelaki bernama Gajus menelefon seorang lelaki muda untuk mengajaknya melakukan hubungan s***.
“Pengarah ingin mengubah atau menambah dialog Gajus. Apa yang perlu dilakukan adalah menukar syot Gajus kepada syot lelaki muda dan memasukkan dialog baharu di syot ini.
“Kedua, pengarah atau sound editor (penyunting bunyi) boleh gunakan insert syot dengan menunjukkan gambar beg LV ketika menggunakan dialog baharu tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Nam Ron sempat ‘menegur’ Wahab agar membuat sebarang rujukan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang berkemungkinan boleh memakan diri kelak.
“Nasihat saya kepada Wahab, sebelum membuat sesuatu kenyataan rujuk dahulu dengan orang yang tahu mengenai selok belok editing (suntingan). Jika tidak ia akan menjerat encik semula,” katanya.
Pada sidang media Jumaat lalu, Wahab mendakwa kandungan audio dalam video tersebut adalah palsu dan direka kerana telah disunting menggunakan teknik voice over.
Wahab turut mengaku dia merakam video berkenaan tetapi perkara yang dibualkan bukan seperti yang tular di media sosial.
Dia mendakwa diarahkan pegawai tertinggi dalam J-Kom yang digelar sebagai ‘Mr H’ untuk merakam perbualan bersama Agus. – 19 November,2023