Wajar lantik individu miliki kepakaran, arif selok belok parti dalam kerajaan kemudi J-Kom

Ini bagi memudahkan tugasan menyampaikan dasar kerajaan dengan berkesan kepada rakyat

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) wajar diisi individu yang mempunyai kepakaran dan berpengalaman, selain arif dengan selok-belok parti yang menerajui kerajaan hari ini.

Penganalisis sosio politik Universiti Malaya, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, ini bagi memudahkan tugasan menyampaikan dasar kerajaan dan maklumat kepada kumpulan sasaran dengan lebih berkesan.

“Pada pendapat saya, jawatan itu perlu diisi individu yang memang datang dari peringkat akar umbi sebab mereka lebih faham sentimen parti dan mengetahui bagaimana untuk menguruskan jabatan tersebut berdasarkan pendekatan politik.

“Kalau lantikan dipilih daripada pakar akademik misalnya, ia bagus sebenarnya tapi kadangkala (individu) itu kurang faham (peranannya). Jadi bila sesorang itu arif selok-belok parti, ia akan memudahkan tugasannya kelak,” katanya kepada Scoop.

Jawatan Ketua Pengarah J-Kom kini kosong susulan peletakan jawatan Datuk Mohammad Agus Yusoff pada Rabu lalu yang terpalit dengan kontroversi video perbualan lucah bersama seorang pemuda, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Bekas pensyarah itu dilantik mengepalai J-Kom pada Februari lalu, namun beliau serta jabatan terbabit menerima banyak kritikan kerana gagal memainkan peranannya dalam menguar-uarkan maklumat berkaitan pelbagai manfaat dan insentif disediakan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, beliau bagaimanapun kurang bersetuju pemilihan pengganti Agus dibuat secara temuduga terbuka kerana calon tidak dekat dengan akar umbi parti.

“Saya kurang setuju lantikan secara terbuka (open interview) sebab calon tidak berapa dekat dengan akar umbi parti dan kurang memahami kehendak rakyat.

“Bagi saya mereka yang menerajui J-Kom juga perlu memahami sentimen politik dan cara untuk memberi penerangan berdasarkan pengalaman mereka bersama parti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf, Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Ismail Sualman pula berpendapat, calon yang akan mengepalai J-Kom tidak patut dipilih berdasarkan lantikan politik.

Sebaliknya, beliau mencadangkan calon tersebut dipilih melalui sesi temuduga secara terbuka dikendalikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Menurutnya, langkah tersebut lebih telus kerana dapat memberi peluang sama rata kepada calon yang benar-benar layak untuk mengemudi jabatan tersebut.

“Saya merasakan jawatan Ketua Pengarah J-Kom ini harus dibuka kepada semua dan ia tidak terhad kepada pakar akademik atau ahli parti politik sahaja.

“Kalau dilantik menggunakan lantikan politik, saya rasa kurang sesuai sebab ia tiada tapisan yang jelas.

“Seharusnya, ia melibatkan temuduga terbuka. Pemohon boleh mohon menerusi SPA, sama seperti lantikan penjawat awam lain sebelum ini,” katanya.

Pada masa sama, Ismail berkata, individu yang terpilih untuk menggemudi jabatan itu juga perlu mahir dalam merangka pelan komunikasi bagi mewakili pihak kerajaan.

“Seperti kita tahu, J-Kom ini berperanan seperti PR (perhubungan awam) kerajaan. Jadi individu tersebut mestilah memahami pelan strategi komunikasi berkesan serta peranan jabatan itu sebagai ‘mata dan telinga’ bagi pihak kerajaan.

“Mereka juga perlulah mendalami semua dasar kerajaan hari ini agar segala informasi dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat,” katanya. – 20 November, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related