Guru besar tinggal di stor sekolah lebih 3 tahun demi anak murid

George yang akan bersara wajib pada 27 November ini, tinggal di stor berkeluasan 2.74 meter lebar dan 4.87m panjang, disebabkan sekolah itu dibina tanpa ada kemudahan rumah guru walaupun berada jauh di pedalaman

10:47 PM MYT

 

TELUPID – ‘Guru umpama lilin membakar diri menerangi orang lain,’ kata-kata yang amat cocok bagi mencerminkan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, George Odol yang berkorban demi memberikan pendidikan untuk anak muridnya di kawasan pedalaman, di sini.

Masakan tidak, George sanggup tinggal di sebuah stor sekolah sejak dipindahkan ke sekolah tersebut lebih tiga tahun lalu pada Jun 2020, namun beliau tidak pernah kesal ke kawasan pedalaman walaupun berdepan pelbagai kesukaran kerana mahu memberikan pendidikan terbaik untuk anak bangsanya.

George yang akan bersara wajib pada 27 November ini berkata, beliau tinggal di stor berkeluasan 2.74 meter(m) lebar dan 4.87m panjang, disebabkan sekolah itu dibina tanpa ada kemudahan rumah guru walaupun berada jauh di pedalaman.

“Saya juga terpaksa berkongsi dapur dan kamar mandi untuk kelas pra-sekolah. Agak sedih jugalah seorang guru besar tinggal di rumah begini sahaja, sudah tiga tahun lebih. Apa boleh buat kami guru-guru terpaksa korbankan keselesaan datang ke sekolah pedalaman untuk anak (murid) kami,” katanya.

Keadaan tempat tinggal George Odol sejak ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Ulu Ansuan pada Jun 2020 – Gambar Media Sosial, 18 November, 2023

Beliau berkata demikian dalam perkongsian platform media sosial Tik Tok yang ditonton lebih 68,000 penonton sehingga berita ini ditulis dan perkongsian itu kini tular terutama dalam kalangan warganet di
https://www.tiktok.com/@mr.george_odol/video/7301702844569128193

Telupid merupakan sebuah daerah di kawasan pedalaman Sabah dan SK Ulu Ansuan terletak kira-kira 230 kilometer dari Kota Kinabalu, dengan perjalanan antara lain menelusuri kaki Gunung Kinabalu serta jalan raya yang kurang baik dan jalan tanah merah.

Menceritakan tentang sekolah itu, George berkata, SK Ulu Ansuan mula dibina pada 1999 dan siap sekitar tahun 2000 tanpa rumah guru, malah guru yang mula-mula dihantar ke sekolah itu tinggal di rumah orang kampung dan selepas itu kelas yang telah diubah suai.

“Enam tahun selepas itu PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) membina dua rumah untuk guru tinggal, tetapi ala kadar sahaja. Penghujung perkhidmatan saya, telah diluluskan pembinaan rumah panjang tujuh pintu untuk guru tetapi saya utamakan guru luar Telupid, tidak apa saya tinggal dalam stor ini,” katanya.

Keadaan tempat tinggal George Odol sejak ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Ulu Ansuan pada Jun 2020 – Gambar Media Sosial, 18 November, 2023

Beliau yang merupakan etnik Kadazandusun berkata, kebanyakan murid di kawasan pedalaman itu dari etnik sama, justeru ia memberikan semangat untuk dirinya meneruskan usaha mendidik anak bangsanya sendiri.

“Jika bukan kami guru (etnik) Kadazandusun datang ke sini untuk mendidik anak-anak ini di sekolah pedalaman, siapa lagi yang diharapkan. Inilah pengorbanan kami guru bertugas di kawasan pedalaman Sabah,” katanya yang menambah tidak membawa keluarganya tinggal di sekolah itu kerana isterinya juga seorang guru bertugas di SK Menanam, Telupid.

Sehingga berita ini ditulis, Bernama menghadapi kesukaran untuk menghubungi George kerana liputan telekomunikasi yang agak terhad di kawasan tersebut. – 18 November, 2023

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related