Pendirian AGC konsisten, RUU GEG tidak berperlembagaan

Peruntukan itu boleh dicabar di mahkamah kerana melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan

10:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) secara konsisten berpandangan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG) adalah tidak berperlembagaan (unconstitutional).

Jabatan itu menerusi satu kenyataan berkata, peruntukan tersebut boleh dicabar di mahkamah kerana melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“AGC menegaskan bahawa kami pada setiap masa secara konsisten memberikan pandangan undang-undang sejak 2022 bahawa GEG boleh dicabar di mahkamah kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini memandangkan peruntukan itu mewujudkan layanan undang-undang tidak sama rata antara seseorang yang dilahirkan sebelum 1 Januari 2007 dan mereka yang dilahirkan pada dan selepas 1 Januari 2007,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas dakwaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa AGC mengambil pendirian berbeza daripada selama ini berhubung RUU berkenaan.

Menurut Khairy, semasa RUU itu dibentangkan di Parlimen kali pertama dahulu, pihaknya telah diminta membuat beberapa pindaan dan susulan itu satu jawatankuasa pilihan khas Parlimen ditubuhkan dengan beliau menjadi pengerusinya.

Jelasnya, jawatankuasa itu telah menemui beberapa pihak termasuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen berkaitan hak kanak-kanak yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Sepanjang jawatankuasa itu melakukan kerja, tidak pernah AGC kata RUU ini tidak berperlembagaan.

“Tiba-tiba hari ini RUU itu jadi tidak berperlembagaan. Saya tidak faham kenapa AGC boleh mengambil pendirian yang berbeza daripada selama ini,” katanya.

Khairy berkata, RUU itu beberapa kali dibawa ke Kabinet dan Parlimen semasa beliau menjadi Menteri Kesihatan sebelum disambung oleh Dr Zaliha Mustafa dan isu ia tidak berperlembagaan tidak pernah berbangkit.

“Saya kata keputusan ini bukan berasas kepada undang-undang tetapi politik sebab saya tahu menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang tidak merujuk kepada AGC.

“Saya hanya boleh buat andaian bahawa ada tekanan daripada menteri undang-undang untuk minta AGC supaya isytihar benda ini tidak berperlembagaan. Maka selesailah dan Kementerian Kesihatan tidak boleh kata apa,” katanya.

RUU itu yang dijadual dibentang semula di Dewan Rakyat untuk dibahaskan pada 10 Oktober lalu, ditangguhkan.

Bagaimanapun, RUU yang berada di peringkat bacaan kedua itu masih terkandung dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat yang bersidang sehingga 30 November depan.

RUU itu bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007.

Ia dibentang untuk bacaan kali pertama pada 12 Jun lalu dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan dengan penelitian dibuat oleh ahli-ahlinya untuk membuat syor penambahbaikan. – 18 November, 2023

Topics

 

Hangat

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Anwar’s plan: protecting Petronas and restoring the ringgit – Tuan Muda

How the prime minister’s reforms are taking shape in crucial institutions

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Related