Malaysia raih pelaburan bernilai RM63.02 bilion di AS: PM

RM8.33 bilion adalah daripada misi perdagangan dan pelaburan ke AS yang dianjurkan sebelum bermulanya Apec, manakala selebihnya daripada mesyuarat satu dengan satu yang diadakan oleh Anwar di San Francisco

7:03 PM MYT

 

SAN FRANCISCO – Malaysia meraih pelaburan RM63.02 bilion bagi cadangan pelaburan di Amerika Syarikat (AS) terutamanya daripada syarikat gergasi teknologi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Daripada jumlah itu, pelaburan sebanyak RM8.33 bilion adalah daripada misi perdagangan dan pelaburan ke AS yang dianjurkan sebelum bermulanya mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec), manakala pelaburan selebihnya daripada mesyuarat satu dengan satu yang diadakan oleh Anwar di sini.

Pelaburan bagi misi perdagangan ini adalah daripada Abbott Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services, Enovix dan Lam Research.

“(Pelaburan) selebihnya telah diraih daripada pertemuan berasingan dengan gergasi teknologi seperti Google, Enovix Cooperation, Microsoft, TikTok dan TPG,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatannya ke AS hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan pelaburan TikTok sebagai agak besar dan ini turut bergantung kepada tempoh pantas Malaysia dalam meluluskan kesemua pelaburan berkenaan.

Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama ahli perniagaan dan pakar teknologi Islam di San Francisco – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 18 November, 2023

“Dalam mempertimbang apa-apa juga ruang kelulusan dan insentif yang diperlukan, saya lebih menekankan soal pemindahan teknologi dan latihan. Ini supaya kita ada tahap keupayaan dalam bidang diterokai yang lebih canggih dan mencabar,” katanya.

Malaysia juga aktif dalam menarik kehadiran kalangan penggiat kenderaan elektrik (EV), termasuk syarikat terkemuka seperti Tesla.

“Ya, beliau (Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk) positif mengenai kehadiran Tesla di Malaysia,” katanya ketika ditanya mengenai panggilan video beliau bersama Musk.

Malah, Anwar turut menganggap kehadiran Tesla di Malaysia sebagai satu petunjuk yang baik terhadap negara ini selain turut memberi manfaat dari segi pertambahan jumlah Stesen Pengecas Super bagi kenderaan EV.

Pendirian Malaysia mengenai kepentingan usaha menarik pelaburan ini turut disuarakan oleh Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Apec 2023, khususnya berkaitan dengan aspek dasar pelaburan yang jelas dan konsisten.

Perdana Menteri bertemu ahli perniagaan dan pakar teknologi Islam yang berpusat di San Francisco, Amerika Syarikat – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 18 November, 2023

“Pelaksanaan polisi dan strategi ini yang memainkan peranan dalam menarik pelaburan ke dalam negara.

“Keperluan mewujudkan kemudahan pusat sehenti mengenai pelaburan adalah penting, namun agensi sehenti ini juga perlu lebih proaktif dalam memudah cara dan mempercepat proses sert prosedur pelaksanaan berkaitan pelaburan,” kata beliau.

Merujuk isu konflik AS dan China, Anwar menegaskan bahawa Malaysia akan sentiasa mengamalkan pendirian berkecuali berikutan kedudukan kedua-dua negara berkenaan sebagai rakan dagang penting untuk negara ini.

“Saya telah menegaskan bahawa Malaysia dan negara-negara Asean secara umumnya tidak harus diheret dan terlibat dalam perang dingin antara kuasa-kuasa besar dunia.

Pada kunjungan itu, Perdana Menteri diiringi oleh isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, dan anggota delegasi itu telah disambut oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Duta Besar Malaysia ke AS Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles Anil Fahriza Adnan.

“Saya gembira kerana kita berpeluang untuk menyatakan pandangan, kedudukan kita dan dapat terlibat menerusi perbincangan secara erat untuk mendapatkan pemahaman dan kerjasama,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menyertai Majlis Pemimpin-Pemimpin Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik Bagi Kemakmuran (IPEF) yang telah dihoskan oleh Presiden AS Joseph Biden pada 16 Nov, 2023.

Majlis tersebut sebagai mengiktiraf kejayaan menteri-menteri IPEF menandatangani Perjanjian Teras 2 (Rantaian Bekalan) pada 14 Nov, 2023.

Anwar berkata, kalangan pemimpin negara anggota IPEF turut mengambil maklum bahawa rundingan Teras 3 (Ekonomi Lestari) dan Teras 4 (Ekonomi Saksama) telah dimuktamadkan secara substantif, manakala rundingan Teras 1 (Perdagangan) telah mencapai kemajuan yang baik.

“Secara keseluruhannya, Malaysia mengalu-alukan kemajuan tersebut dan akan terus bekerjasama dengan semua negara-negara IPEF bagi memuktamadkan rundingan Teras 1 untuk manfaat rantau IPEF secara kolektif,” kata Perdana Menteri. – 18 November, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related