KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Taib menggesa pihak berkuasa dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan untuk melindungi serta mempertahankan padang hijau terakhir di Bukit Jelutong.
Muhamad berkata, pihak terbabit tidak seharusnya memandang remeh usaha yang diambil penduduk untuk mengekalkan padang hijau terakhir yang digelar ‘paru-paru Bukit Jelutong’ bagi mengelakkan kemusnahan alam yang mungkin berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Akhir-akhir ini, kita berdepan dengan banjir di sana sini. Sampai bumbung tidak kelihatan kerana dinaiki air. Kawasan yang berdekatan dengan Bukit Jelutong iaitu TTDI Jaya banjir. Tol NKVE yang berhampiran juga sudah mula naik air. Hanya menunggu masa untuk naik lagi.
“Semua ini membuktikan bahawa negara dan dunia sedang berdepan dengan krisis alam sekitar dan semua pihak memperkatakan tentang isu ini.
“Tapi, mengapa pihak berkuasa dan MBSA mahu menukarkan kawasan hijau seluas 70 ekor itu untuk dijadikan kawasan perumahan?,” soalnya.
Muhammad yang juga penduduk di Bukit Jelutong berkata, pihak berkuasa dan MBSA sepatutnya memandang serius mengenai isu dan permasalahan alam sekitar yang telah menyebabkan tercetusnya bencana alam ini.
“Tugas pihak berkuasa adalah melindungi alam sekitar dan memastikan bahawa kehijauan dan kelestarian dipelihara.
“Perkara ini telah termaktub di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 melalui Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2022.
“Namun kenapa mahu memusnahkan alam sekitar? Takkan kita sebagai penduduk pula yang hendak melindunginya,’’ katanya ketika ditemui pada himpunan aman Bukit Jelutong Bersatu: Mengekalkan Warisan, anjuran Persatuan Penduduk Bukit Jelutong (BJRA) di Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini.
Perhimpunan itu disertai kira-kira 1,000 penduduk Bukit Jelutong bagi membantah pembinaan perumahan di kawasan tapak padang golf seluas 70 ekar di kawasan tersebut.
Mengulas lanjut, Muhammad berkata, perhimpunan terbabit diadakan kerana mahu memberi mesej penting kepada MBSA dan pemaju, Sime Darby Property supaya membatalkan projek membina 425 unit rumah di kawasan hjiau terakhir itu.
“Ini isu yang sangat penting kerana ia sudah pun keluar di akhbar dan televisyen. Bahkan, ia juga sudah masuk Parlimen apabila ia dibangkitkan YB Pasir Gudang, Bangi dan Balik Pulau. Ia sudah jadi isu negara dan sekarang ini orang mahu tahu apa pendirian kerajaan dalam hal ini.
“Kalau kita tidak lakukan sesuatu, tidak mustahil pemaju-pemaju perumahan akan memajukan sesebuah kawasan tanpa persetujuan penduduk dan ia boleh berlaku di mana tempat sekali pun,” katanya.
Beliau turut berharap pihak terbabit dapat menunaikan janji sejak 20 tahun lalu untuk menjadikan Bukit Jelutong sebuah kawasan hijau yang didiami penduduk dengan penuh rasa aman dan senang hati.
“Apa yang telah anda janjikan, harus ditunaikan dan jika apa yang kita lakukan ini, mereka tidak mahu ambil peduli, kita tidak akan diam. Kita akan terus berusaha sehingga berjaya,” katanya. – 18 November, 2023