KUALA LUMPUR – Pemilihan Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman diterima baik oleh semua pihak terutama jentera parti.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penerimaan yang baik oleh jentera parti adalah penting kerana kekuatan dan gerak jentera yang efisyen merupakan elemen penting dalam kempen.
“BN letakkan calon terbaik iaitu diterima oleh semua pihak dalam parti,’’ katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon PRK Kemaman di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman di sini, pagi ini.
Raja Mohamed Affandi akan berdepan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Shamsuri Moktar pada PRK pada 2 Disember ini.
Menurut Mohamad, selepas ini tugas utama parti ialah menyusun gerak jentera dengan fokus ialah mendekati pengundi dalam kalangan ahli Umno serta pengundi atas pagar.
“Setakat ini belum dengar apa apa-apa dan setakat ini semuanya menerima dengan baik,’’ katanya.
Sebanyak 141,790 pengundi layak mengundi termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 pengundi tidak hadir luar negara.
PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu telah membatalkan kemenangan calon calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506). – 18 November, 2023