Anwar ada aura tersendiri, tak perlu lantik Tun M menteri mentor isu Palestin

Kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri sudah cukup kuat untuk menggesa negara lain bangkit mendesak Israel menghentikan serangan ke atas Gaza

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai menteri mentor mewakili Malaysia bagi membawa isu Palestin di peringkat antarabangsa.

Penganalisis sosio politik Universiti Malaya, Prof. Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri sudah cukup untuk kuat menggesa negara lain bangkit mendesak Israel menghentikan serangan ke atas Gaza.

“Bagi saya tiada keperluan (untuk lantik Mahathir sebagai menteri mentor) sebab kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri mampu beri desakan melibatkan isu Palestin.

“Sebagai contoh, Anwar ada membangkitkan isu di Gaza dalam persidangan Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di San Francisco kelmarin yang turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.  

“Apa yang Anwar suarakan itu lebih tepat ke sasaran memandangkan AS antara negara sekutu yang menyokong kekejaman Israel. Jadi beliau mengambil peluang untuk membangkitkan perkara itu kepada mereka yang berkenaan,” katanya kepada Scoop.

Penganalisis sosio politik percaya populariti Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kalangan masyarakat dunia sudah semakin merudum – Gambar Bernama, 18 November, 2023

Malah, Awang Azman berkata, populariti Dr Mahathir dalam kalangan masyarakat dunia juga dilihat semakin merudum berikutan beberapa tindak-tanduk beliau dalam isu politik tanah air sebelum ini.

“Kalau dilihat di peringkat dunia, nama (populariti) Dr Mahathir semakin menurun dan nama Anwar semakin dikenali.  

“Ini kerana masyarakat dunia (sudah) melihat (menilai sendiri) tindak-tanduk Mahathir terhadap politik Malaysia sebelum ini.

“Jadi, bagi saya tiada keperluan untuk lantik beliau sebagai mentor menteri sebab kita (Malaysia) dah ada Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir untuk tujuan itu (berurusan dengan mana-mana negara luar),” katanya.

Azmi Hasan berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai karisma dan aura tersendiri di pentas antarabangsa. – Gambar dari media sosial, 18 November, 2023

Sementara itu, pakar geostrategi, Profesor Azmi Hassan turut senada dengan Awang Azman, dan berpendapat jawatan tersebut sukar diisi Dr Mahathir kerana beliau pernah dilabelkan sebagai anti-semitik oleh media barat susulan kelantangannya mengecam kaum Yahudi sebelum ini.

“Memang tidak dinafikan Dr Mahathir memang sangat dikenali dalam kalangan negara-negara Islam serta Barat, tapi Anwar sebagai Perdana Menteri juga mempunyai karisma dan aura tersendiri di pentas antarabangsa.

“Anwar turut mempunyai kelantangan serupa dengan Dr Mahathir tapi berbeza strategi. Bila Anwar hubungi Ismail Haniyeh (Ketua Biro Politik Hamas) itu adalah kelantangan yang pemimpin Arab pun tak berani nak buat.  

“Mahathir pula orang dah letak stigma sebagai anti-semitik dan hal ini yang dikatakan negatifnya menyukarkan lagi seseorang itu untuk menjalankan tugas apabila sudah ada stigma dan label seperti itu,” katanya.

Khairy Jamaluddin sebelum ini mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai menteri mentor untuk mewakili Malaysia membawa isu Palestin . – Tangkap layar, 18 November, 2023

Terdahulu, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencadangkan Anwar sepatutnya melantik Dr Mahathir sebagai menteri mentor untuk mewakili Malaysia membawa isu Palestin di Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh, Arab Saudi, minggu lalu.

Mengakuinya sukar berlaku, Khairy berkata, kehadiran mantan Perdana Menteri itu yang terkenal dengan kelantangannya dalam isu Palestin selama ini pasti memberi tarikan dalam persidangan tersebut. – 18 November, 2023

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related