KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Mohammad Agus Yusoff mengesahkan beliau sudah menghantar notis ‘bercuti’ daripada jawatan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu disahkannya kepada Scoop ketika dihubungi sebentar tadi.
Ditanya tarikh beliau mula bercuti, Agus enggan mengulas dan memaklumkan sedang menunggu kepulangan Perdana Menteri dari luar negara berhubung notis berkenaan.
“Saya bercuti sekarang, tiada kaitan dengan letak jawatan, saya beri notis bercuti dahulu, kalau PM setuju, saya nak berhenti kerana ada jawatan baharu, itu sahaja.
“Setakat ini tidak ada apa-apa keputusan lagi pun,” katanya.
Justeru, Agus meminta perkara itu tidak ‘dikecohkan dan dijadikan ‘berita panas’ kerana beliau belum meletakkan jawatan.
“Tiada berita yang nak dijadikan berita. Beritanya nanti, saya di mana kalau berhenti, itu beritanya.
“Kenapa jadi kecoh mengenai perkara ini, tidak tahu hujung pangkal, rileks dulu semula,” katanya.
Agus berkata demikian sebagai mengulas laporan media bahawa beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai orang nombor satu J-KOM dan keputusannya akan ditentukan Anwar.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim berkata, J-KOM seharusnya digunakan untuk menyebarkan insentif dan manfaat diberikan kerajaan kepada rakyat supaya golongan sasaran terbabit mendapat hak mereka, namun dilihat gagal berbuat demikian.
Justeru, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor itu, meminta jawatan Ketua Pengarah J-KOM dipegang Agus digantikan dengan individu lain, susulan beliau dianggap gagal memainkan peranan untuk memastikan agensi berkenaan melaksanakan tugas secara berkesan, sehingga isu terbabit semakin panas.
Malah, Presiden Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA), Profesor Mohd Said Bani CM Din berkata, J-KOM sebagai agensi yang diharap untuk menyampaikan manfaat dan perkembangan program kerajaan kepada rakyat secara konsisten, dilihat ‘tersasar’ daripada hala tuju sebenar.
Jelasnya, agensi itu juga dianggap terlewat untuk melaksanakan fungsinya dalam mempromosikan program kerajaan yang sepatutnya dimulakan sejak awal, bukan pada saat akhir menjelang sesuatu acara besar, termasuk pilihan raya.
Manakala, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim menyifatkan ‘kegagalan’ Agus itu memberikan kesan negatif kepada kerajaan.
Ketika membahaskan Bajet 2024 di Dewan Rakyat, Awang mencadangkan kepada kerajaan supaya agensi terbabit yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri dibubarkan.
Susulan dianggap menunjukkan prestasi lemah dalam mengepalai jabatan terbabit, beberapa pihak, termasuk penganalisis politik mencadangkan dan menggesa Agus melepaskan jawatannya itu yang mula dipegangnya mulai 2 Februari lalu. – 16 November, 2023