KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dalam proses menentukan taraf prestasi bagi pencapaian ketepatan dan kadar pembatalan penerbangan untuk syarikat penerbangan di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, proses tersebut dijangka selesai pada suku pertama 2024.
Menurutnya, Malaysia Airlines dan AirAsia masing-masing merekodkan pencapaian ketepatan waktu terendah bagi penerbangan domestik iaitu sebanyak 74 peratus pada suku ketiga tahun ini.
“Bagi penerbangan domestik, syarikat penerbangan Malaysia merekodkan pencapaian 79 peratus untuk suku ketiga tahun ini, berbanding 82 peratus pada suku kedua tahun lalu.
“SKS Airways merekodkan pencapaian ketepatan waktu terbaik iaitu sebanyak 95 peratus diikuti MASwings (93 peratus), Batik Air Malaysia (82 peratus) dan FireFly (77 peratus),” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahi Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew yang ingin mengetahui sejauh mana bilangan penerbangan dan pengendalian penumpang unutk lapangan terbang di Malaysia sudah kembali ke tahap sebelum COVID-19 dan apakah pencapaian ketepatan waktu penerbangan domestik tahun lalu.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, tahap pemulihan jumlah penerbangan antara Januari hingga Oktober lalu pula berada pada kadar 74.1 peratus atau 381,475 penerbangan berbanding 514,896 penerbangan untuk tempoh sama pada 2019.
“Bagi maksud pengendalian penumpang, lapangan-lapangan terbang di Malaysia sudah mengendalikan seramai 109,428,322 penumpang pada 2019.
“Pada 2022, jumlah ini menurun sehingga 54.8 juta penumpang (50.1 peratus berbanding bilangan penumpang yang direkodkan pada 2019).
Menurutnya, sehingga September lalu, lapangan-lapangan terbang di Malaysia sudah mengendalikan seramai 62.8 juta penumpang.
“Kerajaan mensasarkan peningkatan bilangan penumpang sebanyak 87.8 juta penumpang iaitu 80.6 peratus tahun ini. Jumlah penumpang dijangka kembali ke tahap pra-pandemik pada tahun hadapan.
“Tahap pemulihan keseluruhan jumlah penumpang adalah pada kadar 77.5 peratus antara Januari hingga September 2023 berbanding tempoh sama pada 2019,” katanya.
Katanya, penumpang domestik merekodkan pemulihan terbaik pada kadar 84.4 peratus diikuti penumpang Asean (77.5 peratus) dan 63.4 peratus untuk penumpang destinasi antarabangsa lain. – 16 November, 2023