KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, dan suaminya warga Palestin, Mohamed AM Shaat, 33, yang selamat tiba di tanah air, malam Selasa lalu menafikan dakwaan mereka lari meninggalkan keluarga mentuanya di Gaza.
Sebaliknya, wanita itu berkata, hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terbuku di hatinya.
“Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan, terima kasih juga kepada mereka yang mengecam.
“Kami bukan lari, tiada siapa tahu apa yang terbuku di hati kami, hanya Allah yang maha mengetahui,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Jelasnya, sekiranya dia dan suami mengambil keputusan untuk tidak keluar dari Gaza, sudah tentu mereka tidak dapat membantu rakyat Palestin yang masih berada di wilayah terkepung itu.
“Kalau kami stay (tidak keluar) bagaimana nak sara keluarga yang sedang susah dan bertambah susah sekarang?
“Bagaimana untuk kami bantu rakyat di sana juga kerana saya tidak dapat withdraw cash (keluarkan wang tunai) bantuan kerana Israel menyekat sistem di sana,” katanya.

Pada masa sama, Nurul Ain berkata, dia dan suaminya akan kembali ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam masa terdekat.
“Rakyat Malaysia jangan risau suami saya tidak akan lama di sini, InsyaAllah soon (dalam masa terdekat) kami akan kembali ke UAE.
“Alhamdulillah for everything (untuk segalanya)… InsyaAllah everything will be okay (semuanya akan okay. InsyaAllah Palestine will be free soon (akan bebas dalam masa terdekat),” katanya.
Terdahulu, pasangan suami isteri itu dibawa keluar dari kawasan konflik Gaza melalui lintasan sempadan Rafah, pada 2.23 pagi, 13 November lalu.
Kementerian Luar memaklumkan, tindakan evakuasi itu dapat dilaksanakan hasil pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Mesir, Abdel Fattah al-Sisi semasa lawatan Anwar ke Mesir pada 23 Oktober lalu.
Nurul Ain dan suaminya menjejakkan kaki ke Gaza pada 1 Oktober lalu untuk bertemu dengan keluarga Mohamed selepas sembilan tahun tidak bertemu sejak mendirikan rumah tangga enam tahun lalu.
Dalam pada itu, Nurul Ain turut menzahirkan penghargaannya kepada Anwar yang telah membantu dalam misi membawanya pulang ke tanah air. – 16 November, 2023