KUALA LUMPUR — Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki enggan lagi mendengar alasan kos yang tinggi menghalang pelajar memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Sebaliknya, kata beliau, Mara telah menyediakan bantuan kewangan pendidikan (Budi) untuk pelajar-pelajar MRSM yang tidak berkemampuan.
“Bantuan ini berupa bantuan kewangan untuk menampung yuran persekolahan, belian pakaian sekolah harian, keperluan asrama, peralatan sekolah, bayaran tambang pergi dan balik sekolah, pengecualian wang caruman dan pemberian wang saku.
“Justeru saya tidak mahu dengar lagi alasan tidak mahu masuk MRSM kerana kosnya yang tinggi. Hakikatnya dengan ilmu sahaja dapat merubah kehidupan diri keluarga,’’ katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sejak beberapa hari lepas, isu melibatkan MRSM, pelajar kurang berkemampuan serta kemasukan pelajar dari golongan berada (T20) menggunakan kabel ke institusi tersebut, hangat diperkatakan di Facebook Asyraf.
Menerusi Facebooknya juga, Asyraf juga berkata, mulai tahun ini, Mara telah mengambil inisiatif secara proaktif dan turun padang bagi mengenalpasti anak-anak dalam kalangan B40 dan membantu mereka memohon secara atas talian untuk kemasukan ke MRSM.
“Mereka seterusnya akan dipanggil menduduki Ujian Kemasukan Ke MRSM (UKKM). Ini dilakukan supaya golongan ini tidak tercicir,’’ katanya.
Asyraf sebelum ini dilaporkan berkata bahawa MRSM tidak pernah mempunyai polisi di mana hanya pelajar miskin layak menuntut di institusi pendidikan tersebut sebaliknya anak kenamaan dan T20 juga boleh berbuat demikian jika layak.
Jelasnya, kuota yang ditetapkan ialah 60% pelajar dalam kalangan kumpulan B40 manakala selebihnya adalah anak-anak kumpulan M40 dan T20, yang melepasi ujian kelayakan ke MRSM. – 15 November, 2023