Padang Dataran Merdeka ditutup sehingga Januari depan, permohonan tempahan dibekukan

Penutupan lebih dua bulan itu bagi memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan rumput

4:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup Padang Dataran Merdeka bermula 15 November hingga 31 Januari depan.

Pihak berkuasa tempatan (BT) itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penutupan terbabit bagi memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan rumput.

Justeru, permohonan untuk menempah padang berkenaan ditutup sepanjang tarikh itu.

“Sehubungan dengan itu, sebarang permohonan tempahan untuk penggunaan Padang Dataran Merdeka akan dibekukan sewaktu kerja penyelenggaraan ini dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, DBKL menerusi kenyataan berbeza memaklumkan, pihaknya melaksanakan penutupan lorong dan mengaktifkan laluan kontra mengikut waktu puncak di sebahagian Jalan Ampang, iaitu antara persimpangan Jalan Tun Razak hingga persimpangan Jalan Ru, seperti arahan dikeluarkan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Waktu pengoperasian (laluan kontra) adalah antara 6 pagi hingga 9 pagi serta antara 4.30 petang hingga 7.30 petang,” katanya.

Menurutnya, pengaktifan lorong itu adalah bagi menyediakan lorong khas bas, iaitu lorong kiri.

“Ini bertujuan untuk mengutamakan pergerakan bas dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, di samping mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian,” katanya.

Selain itu, DBKL memaklumkan, pada tempoh sama, pihaknya mengaktikan lorong khas bagi kegunaan bas dan teksi di sepanjang Jalan Genting Klang di antara Persimpangan Jalan Tumbuhan hingga susur sebelum Bulatan Pahang.

“Waktu pengoperasian adalah dari 6 pagi hingga 8 malam dan pengaktifan lorong ini adalah di kedua-dua arah. Pengaktifan lorong ini adalah bagi menyediakan lorong khas bas (lorong kiri) untuk mengutamakan pergerakan bas dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, di samping mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.

“Kerjasama serta pematuhan dari semua pengguna jalan raya amatlah dihargai. Bagi sebarang pertanyaan, sila emelkan kepada [email protected],” katanya. – 15 November, 2023

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related