KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 di San Francisco, Amerika Syarikat, merupakan peluang terbaik untuk menyatakan perspektif Malaysia mengenai kedudukan ekonomi global semasa.
Pada masa sama, kata Perdana Menteri, beliau juga akan mendengar serta memberi pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang berpengaruh, usahawan-usahawan dan para pemimpin APEC.
“Dalam Persidangan ini, saya akan menekankan komitmen Malaysia ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi, memantap kemakmuran ekonomi serta memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif buat semua,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Anwar akan menghadiri APEC mulai 14 hingga 17 November dan pesawat yang membawa beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco, California pada 9.37 malam waktu tempatan.
Ketibaan Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta anggota delegasi lain disambut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles Anil Fahriza Adenan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan akan mengambil peluang untuk berkongsi keutamaan dan prinsip Malaysia mengikut Rangka Kerja Ekonomi Madani, menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan kerjasama untuk kemakmuran bersama, pada mesyuarat itu.
Mengulas lanjut, Anwar turut memaklumkan ruangan yang ada semasa APEC akan digunakan untuk beliau mengetengahkan keadaan serta penderitaan yang menimpa warga Palestin saat ini, selain meraih dukungan global, merangkul serta memperhebat usaha mempermudah akses dan bantuan kemanusiaan, dan penyelesaian yang adil.
“Selain APEC, saya juga dijadual untuk menyampaikan pidato umum berjudul “Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia-Pacific – The View from Southeast Asia” di Universiti California, Berkeley.
“Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik buat negara dan rakyat,’’ katanya. – 14 November, 2023