Pengukuhan dolar AS, ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China dorong penyusutan nilai ringgit : Anwar

Trend penyusutan ini turut dialami mata wang serantau seperti yen, baht, won, renminbi dan peso berbanding dolar AS pada tahun ini

8:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Penyusutan nilai mata wang ringgit yang dialami dalam tempoh terdekat ini sebahagian besarnya didorong oleh perkembangan global, khususnya pengukuhan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, trend penyusutan ini turut dialami mata wang serantau seperti yen Jepun, baht (Thailand), won (Korea), renminbi (China) dan peso (Filipina) berbanding dengan dolar AS pada tahun ini.

“Usaha bagi menangani penyusutan nilai ringgit akan terus dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai bank pusat yang bertanggungjawab terhadap kestabilan pasaran kewangan dan mata wang yang akan sentiasa memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur.

“Untuk menangani volatiliti dalam pasaran pertukaran asing, BNM akan terus menguruskan risiko-risiko dari perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Hok Liong ingin tahu mengenai faktor-faktor yang memberi tekanan kepada mata wang tempatan dan apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengatasinya.

Hok Liong juga bertanya sama ada ringgit akan terus mengalami tekanan dalam jangka masa panjang.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, kerajaan kekal komited dalam memberikan tumpuan terhadap pelaksanaan polisi-polisi struktural yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara bagi menarik aliran masuk dana dan pelaburan asing serta mempertingkatkan pelaburan langsung domestik (DDI) yang berkualiti.

Langkah ini, ujar beliau, termasuk usaha bagi mentransformasi ekonomi negara yang dipandu oleh Kerangka Ekonomi MADANI menerusi dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas.

Selain itu, faktor pemulihan kestabilan pasaran dunia, langkah-langkah tersebut beserta pelaksanaan Dasar Pelaburan Baharu (New Investment Policy, NIP) untuk menambah baik iklim pelaburan dan produktiviti negara serta komitmen kerajaan terhadap pengukuhan kemampanan fiskal menerusi pembentangan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) dijangka menambah baik sentimen pelabur seterusnya memperkukuh nilai ringgit.

Mengenai soalan sama ada ringgit akan terus mengalami tekanan dalam jangka masa panjang, Anwar memberitahu, sebagai sebuah negara perdagangan dan ekonomi yang terbuka, permintaan terhadap ringgit akan terus dipengaruhi oleh faktor-faktor global.

Dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu, tambahnya, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan penting mengurangkan impak kejutan luaran terhadap aktiviti ekonomi domestik.

“Pemulihan kestabilan pasaran dunia, penambahbaikan sentimen pelabur dan lebihan penerimaan pertukaran wang asing yang dipengaruhi oleh kegiatan teras ekonomi negara dijangka memperkukuhkan nilai ringgit,’’ katanya. – 14 November, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related