Malaysia hargai bantuan beberapa negara bawa keluar Nurul Ain, suami: PM

Nurul Ain dan suaminya selamat dibawa keluar dari kawasan konflik Gaza melalui lintasan sempadan Rafah, pada jam 2.23 pagi hari ini, waktu Malaysia

4:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada beberapa negara yang tidak ketinggalan membantu usaha serta proses membawa keluar Nurul Ain Haron dan suaminya, Mohamed AM Shaat dari Gaza, Palestin.

Penghargaan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian di Facebook, susulan perbualan beliau dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama pasangan berkenaan menerusi panggilan video, awal pagi ini.

“Dalam konteks ini, saya juga ingin merakamkan rasa terima kasih kerajaan Malaysia kepada beberapa buah negara lain yang tidak ketinggalan menghulurkan apa juga bantuan dalam proses membawa keluar rakyat Malaysia ini.

“Syukur kepada Allah SWT jua,” katanya.

Berkongsi perbualan beliau dan Dr Wan Azizah bersama Nurul Ain serta Mohamed yang juga rakyat Palestin, Anwar berkata, pasangan itu menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan Malaysia.

Katanya, ia susulan usaha kerajaan yang sedaya upaya memastikannya dan suami selamat dibawa keluar dari Gaza.

Perdana Menteri berkata, Nurul Ain turut merakamkan terima kasih kepada kakitangan Kedutaan Malaysia.

“Nurul Ain berterima kasih kepada kakitangan Kedutaan Malaysia yang tidak berputus asa dalam memastikan proses membawa mereka (dia dan suaminya) keluar dari zon perang, dapat dilakukan,” katanya.

Nurul Ain dan Mohamed selamat dibawa keluar dari kawasan konflik Gaza melalui lintasan sempadan Rafah, pada jam 2.23 pagi hari ini, waktu Malaysia.

Kementerian Luar menerusi kenyataannya memaklumkan, usaha itu dapat dilaksanakan hasil pertemuan Perdana Menteri dan Presiden Republik Mesir, Abdel Fattah al-Sisi semasa lawatan Anwar ke Mesir pada 23 Oktober lalu.

Ia juga susulan penyelarasan lanjut kedutaan Malaysia di Kaherah dan Amman.

“Sejurus Puan Nurul Ain dan suami tiba di Lintasan Sempadan Rafah, dia dihubungi Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) untuk bertanya khabar melalui panggilan video.

“Mereka dimudahcara Duta Besar Malaysia ke Kaherah bersama pegawai kedutaan lain.

“Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mereka,’’ katanya.

Terdahulu, Nurul Ain yang berasal dari Keramat di sini, mengikut suaminya yang dikahwini sejak enam tahun lalu, pulang ke Gaza pada 1 Oktober untuk bertemu dengan keluarga mertuanya.

Bagaimanapun, ia menjadi ‘memori menakutkan’ kepada mereka apabila Gaza dibom tentera Zionis sejak 7 Oktober, sekali gus membuatkan Nurul Ain sangat berharap dapat keluar dengan selamat ke Malaysia. – 13 November, 2023

Topics

 

Hangat

Budget 2025: consider soft loan to help us replace old school buses, say operators

Federation of School Bus Associations’s president Amali Munif Rahmat says that an interest-free soft loan can help them procure new buses and recruit young operators

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Top Ismail Sabri aides arrested over money laundering, graft probe: Azam Baki

Sources said that multiple cases are under investigation, including the alleged misuse of RM700 million

Related