KUALA LUMPUR – Kerajaan Pulau Pinang menegaskan tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menghalang individu tertentu menyampaikan kuliah agama di negeri itu, termasuk penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) pada 23 Oktober lalu jelas menyatakan semua penceramah yang hendak menyampaikan pengajaran di semua masjid dan surau perlu memiliki tauliah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri itu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat negeri berkata, tiada larangan dikenakan kepada sesiapa yang ingin menyampaikan kuliah namun mereka perlu mengikut garis panduan yang jelas.
“Jadi kenyataan menerusi pekeliling itu jelas. Saya tak ganggu proses penguatkuasaan oleh pegawai agama dan semua dilakukan secara profesional oleh jabatan (JHEAIPP),’’ katanya kepada Scoop hari ini.

Beliau mengulas mengenai PAS Pulau Pinang hari ini yang mendesak kerajaan negeri mempertimbangkan semula keputusan menyekat pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus daripada menyampaikan kuliah di negeri berkenaan.
Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, pihaknya mengambil berat isu sekatan terhadap asatizah menyampaikan kuliah di Pulau Pinang dengan menggunakan alasan tauliah sedangkan selama ini, masjid dan surau hidup dengan pengimarahan sambil dipantau oleh pihak JHEIPP.
Beliau mendakwa sekatan itu berunsur politik terutamanya daripada pengajar yang dikatakan cenderung kepada parti politik pembangkang, sekali gus menggambarkan satu keputusan yang sangat membangkitkan kemarahan rakyat Pulau Pinang.
Pekeliling yang dikeluarkan JHEAIPP pada 23 Oktober lalu memaklumkan mengenai penstrukturan semula kuliah dan penganjuran aktiviti ilmu di masjid serta surau di negeri ini.
Pengarah JHEAIPP, Datuk Zulkifli Rashid berkata, semua penceramah atau pengkuliah yang hendak menyampaikan pengajaran di semua masjid dan surau di Pulau Pinang mestilah memiliki tauliah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri itu.
Dalam masa sama, penceramah dan pengkuliah yang dijemput itu tidak mempunyai kontroversi terutama berkaitan akhlak, masalah khilafiah, politik kepartian dan seumpamanya.

Awal tahun ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesahkan Ustaz Azhar antara penceramah yang tidak mempunyai tauliah untuk berceramah dan berkuliah di masjid dan surau di negeri itu.
Difahamkan, beliau sudah tiga kali dipanggil oleh pihak berkuasa itu untuk menjalani proses temu duga pemegang tauliah.
Namun pada hujung September lalu, Ustaz Azhar akhirnya menerima tauliah mengajar daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu untuk tempoh lima tahun.
Sebelum ini, tular video pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias yang mengesahkan beliau telah menerima arahan tidak dibenarkan lagi memberi kuliah di Pulau Pinang selepas 33 tahun berceramah di negeri itu selama ini.
Ucapan beliau itu dipercayai dirakam jemaah di Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil dan rakaman video berdurasi 3 minit 08 saat itu turut tular di media sosial pada hujung Oktober lalu. – 12 November, 2023